Dustin Poirier sebelum ini tidak memberikan komen yang banyak tentang kekalahan beliau. Ini kerana beliau masih kecewa dengan kekalahan walaupun menerima hakikat bahawa lawan beliau lebih baik.
Dalam aksi UFC 242, Dustin Poirier ditewaskan Khabib Nurmagomedov menerusi submission pada pusingan ke-3.
Namun semangat kesukanan di antara kedua-dua petarung UFC itu mendapat perhatian media dan peminat.
Khabib menyifatkan Poirier sebagai seorang lawan yang harus dihormati dan dicontohi. Ini kerana Poirier sangat menghormati lawannya.
Khabib Nurmagomedov menyatakan beliau gembira pertarungan kali ini menggambarkan pertarungan MMA sebenar yang penuh rasa saling menghormati. Tiada sembang sampah seperti yang berlaku ketika pertarungan beliau dengan Conor McGregor sebelum ini.
Khabib sendiri bertekad mahu membantu yayasan kebajikan Dustin Poirier. Oleh itu Khabib meminta bertukar baju dengan Poirier kerana beliau mahu membantu menjual baju tersebut, dan wang itu akan disalurkan kepada yayasan kebajikan the Good Fight.
Khabib menyeru semua petarung UFC saling menyokong usaha murni yang dilakukan atlet UFC lain walaupun mereka musuh di dalam octagon.
Semalam, menerusi twitter beliau, Dustin Poirier memberikan penghargaan kepada Khabib Nurmagomedov di atas pengalaman yang telah juara dunia itu berikan kepada beliau.
Dustin berkata: “Setiap yang berlaku itu ada sebabnya. Inilah pengalaman dan ianya unik sekali.”
“Terima kasih Khabib untuk satu lagi pengajaran hidup yang mencabar. Tiada alasan dan tiada apa yang dikesalkan.”
“Saya akan bawa ‘ketulan’ ini dan terus maju ke hadapan.”
Everything happens for a reason. This is my journey and it's unique. Thank you Khabib for another tough life lesson. No excuses no regrets. Gonna take my lumps and keep it moving. #paidinfull pic.twitter.com/ZHPIYfVey5
— The Diamond (@DustinPoirier) September 12, 2019
Khabib selepas ini dijangka akan berhadapan dengan Tony Ferguson. Dustin Poirier pula sudah menyuarakan cabaran beliau kepada Conor McGregor untuk perlawanan ulangan.
Ini selepas McGregor mahukan pertarungan ulangan dengan Khabib. Menurut Dustin, adalah lebih masuk akal jika pertarungan ulangan beliau dengan McGregor berlaku selepas ini. Memandangkan petarung yang lain juga berhak mendapat giliran untuk mencabar Khabib Nurmagomedov.