Pique Yakin Maguire Menjadi Batu Asas Kebangkitan Manchester United Memenangi EPL

Pertahanan Barcelona, yang juga bekas pemain Syaitan Merah, Gerard Pique yakin Harry Maguire akan mengetuai kebangkitan Manchester United.

Harry Maguire merupakan bek tengah termahal dalam sejarah bola sepak dunia, apabila United membayar £80 juta untuk mendapatkan beliau.

Pique berpegang kepada teori di mana ianya sudah dibuktikan berjaya oleh Manchester United pada 10 tahun lalu dengan pembelian Rio Ferdinand.

Pique juga mengambil contoh Liverpool, yang mendapatkan Virgil Van Dijk dan berjaya membantu pasukan itu memenangi kejohanan Eropah.

Namun Pique mengiktiraf Manchester United sudah menjadikan ianya satu tradisi, di mana mereka mendapatkan bek tengah yang mahal dan berkualiti untuk menambahkan kualiti pasukan.

Pique juga optimis Harry Maguire akan menjadi pemain penting untuk mengembalikan semula kegemilangan dan trofi EPL ke Old Trafford.

Bercakap kepada Express Sport, Pique menyatakan: “Perkara ini sudah berlaku sebelum Virgil Van Dijk lagi di United. Di mana Sir Alex ketika itu mendapatkan Rio Ferdinand dari Leeds.”

“Ini sudah menjadi tradisi dalam pasukan Manchester United di mana mereka banyak melabur untuk membeli pertahanan-pertahanan ampuh. Maguire adalah pertahanan yang hebat.”

“Saya berharap Manchester United akan berada di kemuncak sekali lagi.”

“Dalam beberapa musim kebelakangan ini, mereka bergelut untuk mara ke Liga Juara-Juara Eropah, dan pada masa yang sama mereka mencuba untuk memenangi semula EPL. Saya berharap pembelian ini (Maguire) akan membantu mereka berada di atas semula.”

Musim ini Manchester United sudah mengumpul 4 mata daripada 3 perlawanan. Ole Gunnar Solskjaer sudah menyatakan bahawa beliau mahukan perubahan segera dalam aksi yang akan datang.

Solskjaer menggariskan isu ketumpulan penyudah sebagai punca mereka tewas dalam perlawanan sebelum ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.