Semalam telah berlangsung undian Piala Dunia. Pasukan yang memliki rekod luar biasa dalam Piala Dunia tersebut telah diundi dalam kumpulan yang dianggap mudah. Brazil memiliki rekod 5 kejuaraan Piala Dunia di dalam sejarah mereka.
Brazil berada di kumpulan E bersama-sama dengan Switzerland, Costa Rica, dan Serbia. Pengendali yang telah berjaya membantu Brazil kembali digeruni, Tite telah memberitahu yang beliau tidak mahu pasukan beliau hilang fokus.
Tite ataupun sebenar Adenor Leonardo Bacchi sebelum ini bukanlah nama yang popular berbanding dengan pengendali lain dari Brazil di arena antarabangsa.
Namun pihak CBF melantik beliau menggantikan Dunga untuk kempen kelayakan Piala Dunia. Beliau sudah menjadi pengurus selama 25 tahun di dalam liga Brazil.
Pernah menguruskan Juventude, Caxias, Gremio, Corinthians dan Atlético Mineiro. Pencapaian terbaik beliau adalah membantu Corinthians menjuarai Copa Libertadores pada 2012 dan kemudian membawa kejuaraan Piala Kelab Dunia ke-2 untuk kelab tersebut.
Falsafah taktikal beliau adalah menggemari bola sepak yang cantik dan menghiburkan. Beliau memberikan kebebasan kepada pemain-pemain yang memiliki skil yang tinggi untuk menikmati kebebasan dan keseronokan bermain.
Hasilnya, di bawah kendalian beliau, Brazil berjaya menjadi pasukan No.1 dunia sekali lagi. Seterusnya Brazil adalah pasukan pertama yang mara ke Piala Dunia daripada kelayakan.
Tetapi beliau tetap menggariskan aspek bermain dalam pasukan. Kualiti individu sahaja tidak akan mampu untuk membawa pasukan Brazil ke tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
“Dalam bola sepak moden hari ini, teknik amat penting. Sebab itu jurulatih harus ada kemampuan untuk menguruskan taktikal pasukan. Ini untuk menyeimbangkan kualiti pasukan dan juga keupayaan individu pemain.”
“Seterusnya, aspek kecergasan sangat penting terutama sekali ketika pertarungan fizikal untuk memenangi bola. Kekuatan mental juga penting untuk memastikan pemain berjaya mengendalikan tekanan.”
“Jadi 4 aspek itu sangat penting untuk membentuk sebuah pasukan.”
Tite mahukan Brazil mengekalkan cara mereka bermain dan tidak terlalu memandang rendah pasukan lawan mereka.
Tite memberitahu yang beliau akan mempersiapkan pasukan seperti mana mereka mahu berhadapan dengan lawan seperti Sepanyol dan England. Bagi beliau, 3 lagi pasukan yang lain di dalam kumpulan E adalah adalah sama sahaja seperti pasukan kuat yang lain.
“Keperluan latihan untuk menentang Switzerland, Serbia dan Costa Rica adalah sama dengan England dan Sepanyol. Kami akan cuba memperbaiki aspek taktikal di dalam pasukan. Seterusnya aspek fizikal dan juga memastikan pemain berada dalam kondisi terbaik di dalam padang.”
Tite mengakui, tekanan di dalam Piala Dunia adalah berbeza dengan perlawanan kelayakan dan perlawanan yang lain. Walaupun mereka melepasi peringkat kumpulan dengan cemerlang sekalipun, mereka tetap akan berhadapan dengan pasukan yang kuat di peringkat kalah mati.
Dalam pasukan Brazil yang ada, mereka ada kualiti yang sangat baik. Mereka ada penjaga gol yang cemerlang di Serie A dan Liga Perdana Inggeris iaitu Allison dan juga Ederson Moraes.
Paling menarik adalah kualiti mereka di barisan serangan yang memiliki nama-nama seperti Neymar, Phillipe Coutinho, Gabriel Jesus, Willian dan ramai lagi.
Brazil pastinya mahu mengembalikan keceriaan di wajah peminat mereka. Ini selepas kempen Piala Dunia yang mengecewakan di bumi sendiri pada 2014. Brazil dimalukan Jerman 7-1 di hadapan penyokong mereka sendiri.