Pesanan Jose Mourinho Kepada Para Pemain Spurs Selepas Kekalahan Kepada Royal Antwerp

Tottenham Hotspur baru saja dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada pasukan dari Belgium, Royal Antwerp FC awal pagi tadi dalam saingan Europa League.

Gol jaringan dari Royal Antwerp muncul pada minit ke-29 perlawanan menerusi Lior Refaelov yang menerima bola umpanan cantik dari Dieumerci Mbokani.

Dieumerci Mbokani mudah mencuri bola di kaki Ben Davies dengan menggunakan kelebihan fizikalnya, lalu beliau dengan pantas membawa bola masuk ke kotak penalti Spurs sebelum melorongkan bola cantik kepada Lior Refaelov.

Bola lorongan kemasnya itu berjaya disempurnakan oleh Lior Refaelov yang melepaskan rembatan padu menewaskan Hugo Lioris.

Spurs gagal untuk mencipta sebarang cubaan tepat pada sepanjang babak kedua permainan dan kali terakhir mereka berjaya mencatatkan cubaan tepat adalah sebelum jaringan pertama Antwerp iaitu pada minit ke-19.

Keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan dan ini merupakan kemenangan kedua untuk Antwerp dalam saingan Europa League musim ini.

Kemenangan Royal Antwerp ke atas Tottenham Hotspur juga merupakan kemenangan pertama mereka di halaman sendiri dari semua penampilan mereka di pentas bola sepak Eropah sejak dari 1993.

Jose Mourinho kecewa dengan keputusan perlawanan itu dan telah memuat naik status di laman Instagram miliknya dengan menyatakan:

“Persembahan buruk layak untuk mendapatkan keputusan yang buruk. Harap semua orang dalam bas ini sedih sepertimana yang saya rasakan. Esok jam 11 pagi semua turun berlatih.”

Beliau jelah mahu anak-anak buahnya melupakan kekalahan tersebut dan mahu mereka bangkit untuk perlawanan seterusnya.

Jose Mourinho dalam perlawanan ini telah membuat sembilan pertukaran dari kesebelasan utamanya.

Beliau telah membuat rombakan awal dengan menurunkan empat pemain baru dalam kesebelasan utamanya dan telah menghabiskan lima pertukaran ketika permainan sedang berlangsung.

Beliau menghabiskan lima pertukaran itu ketika perlawanan baru sahaja berlangsung selama 58 minit.

Jose Mourinho telah mengeluarkan Dele Alli, Steven Bergwijn, Giovani Lo Celso, Carlos Vinicius dan Gareth Bale.

Kesemua pemain itu telah digantikan oleh Erik Lamela, Pierre-Emile Hojbjerg, Lucas Moura, Son Heung Min dan Harry Kane.

Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho turut menolak untuk menganalisis persembahan Dele Alli dalam perlawanan tersebut ketika diminta oleh pihak media dan beliau hanya menyatakan:

“Saya tidak mahu menganalisis pemain secara individu, saya tidak suka melakukannya lebih-lebih bersama kamu.”

“Tapi lebih adil untuk saya katakan, pemain dengan persembahan yang buruk akan memberi pengaruh yang buruk juga untuk semua rakan sepasukan yang lain.”

Mourinho turut menjawab persoalan yang sering dilemparkan kepadanya berkaitan pemilihan pemain dengan menyatakan:

“Sebelum perlawanan kamu semua selalu bertanya kepada saya mengapa pemain ini tidak main, kenapa pemain itu tidak pemain, kenapa pemain ini tidak dipilih. Mungkin sekarang untuk tempoh beberapa minggu kamu semua tidak akan tanya saya lagi soalan itu kerana kamu semua sudah ada jawapannya.”

“Kami dapat apa yang berhak kami dapat.”

“Kami beri mereka kemenangan, boleh saya cakap begitu?”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.