Pertarungan Usain Bolt Dan Sarah Si Cheetah, Siapa Lebih Laju?

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Pernahkan anda terfikir siapa lebih pantas, Usain Bolt atau seekor cheetah?

Pernahkah juga anda terfikir untuk berlumba lari menentang seekor cheetah? Anda mungkin ada pengalaman berlumba lari tanpa sengaja dengan seekor anjing kerana dikejarnya.

Baiklah, dalam segmen kali ini akan membawakan anda satu pertarungan di antara Usain Bolt dengan seekor Cheetah.

Bolt, Si Manusia Terpantas!

Sejak beberapa tahun ini, Usain Bolt masih menjadi manusia terpantas di muka bumi. Secara teknikalnya, Usain Bolt adalah manusia terpantas dalam ketamadunan manusia sehingga hari ini.

Bolt adalah pemegang rekod dunia dalam acara 100 meter dengan catatan 9.58 saat. Bolt mencatatkan kelajuan tertinggi (top speed) 24 batu per jam ataupun 38.62 km per jam ketika melakukan larian rekod dunia ini.

Foto – Daily Mail

Ini diikuti oleh Tyson Gay dengan catatan 9.68 saat, dan Asafa Powell, 9.72 saat.

Kepantasan manusia berlari seakan-akan sukar untuk diramal oleh para saintas. Dahulu ramai saintis sukan menyatakan, amat mustahil untuk melihat manusia berlari di bawah 10 saat pada jarak seratus meter.

Usain Bolt memiliki 3 emas Olimpik dalam 100 meter di 3 temasya Olimpik yang berbeza. Beliau juga ada 3 pingat emas dalam kejohanan trek dunia.

Olimpik dianggap kejohanan paling besar untuk mengiktiraf siapakah manusia terpantas di muka bumi.

Usain dianggap sebagai pelari paling unggul dalam sejarah manusia setakat ini. Bukan sahaja jaguh 100 meter, Usain Bolt juga jaguh dalam acara 200 meter.

Beberapa penganalisis berpendapat, Bolt mungkin boleh berlari lebih laju sekiranya beliau memperbaiki teknik di garisan permulaan.

Perkara yang turut diakui oleh Bolt. Beliau sendiri pernah memberitahu yang beliau sudah mencuba sedaya upaya untuk memperbaiki aspek itu tetapi masih gagal untuk mendapatkan hasil lebih baik.

Cheetah Sang Pemecut Semulajadi

Secara universalnya, Cheetah dianggap makhluk hidup daratan yang terpantas di muka bumi. Hanya burung Helang lebih laju daripada seekor Cheetah di atas planet ini.

Cheetah adalah seekor haiwan yang memiliki sifat semulajadi yang lahir sebagai mahkluk pemecut unggul.

Cheetah lebih laju daripada Ferrari untuk mencapai kelajuan maksimum (accelerate). Cheetah mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 60 batu sejam dalam masa hanya 3 saat.

Sarah Si Cheetah vs Usain Bolt

Satu sesi catatan masa telah dilakukan oleh sekumpulan Saintis sukan di Amerika Syarikat. Mereka cuba merekodkan catatan seekor Cheetah betina bernama Sarah.

Foto – Daily Journal

Sarah adalah seekor Cheetah yang mendiami zoo Cincinnati, Amerika Syarikat. Sarah sudah berusia 11 tahun. Sarah akan cuba mencabar rekod 9.58 saat yang dicatatkan oleh Usain Bolt.

Pertarungan Sarah vs Bolt memang menarik. Jika Sarah dari kumpulan ‘kucing’ yang terpantas di dunia, Bolt pula lahir dari negara yang banyak melahirkan manusia terpantas dalam era berbeza iaitu Jamaica.

Dengan populasi hanya 3 juta, Jamaica sudah ada koleksi 14 pingat emas Olimpik dan kebanyakannya adalah hasil daripada acara pecutan.

Pada 20 Jun 2012, saintis sukan dan krew National Geographic membawa Sarah ke satu padang rumput yang lapang. Kali ini para saintis sukan akan mencatatkan rekod Sarah dalam acara pecutan 100 meter.

Sarah memulakan larian dengan 3 batu per jam . Dalam sekelip mata Sarah mencapai kelajuan maksimum 61 batu per jam ataupun 98.17 km per jam. Sarah menamatkan larian pada jarak 100 meter dengan catatan hanya 5.95 saat sahaja.

Foto – Nat Geo

Ianya hampir 40% lebih pantas daripada rekod dunia yang dicipta oleh Usain Bolt yang dicatat pada Ogos 2009.

Jadi, ramai yang sudah menjangkan si Cheetah akan menang. Cuma kali ini, kita semua tahu yang Cheetah bernama Sarah adalah 40% lebih laju daripada manusia terpantas di muka bumi.

Rujukan

Wikipedia

Thomson Safari


SHARE ()