Pertama Kali Dalam 40 Tahun Real Madrid Sunyi, Chelsea Belanja Paling Mewah

Real Madrid menjadi satu-satunya pasukan gergasi di Eropah yang tidak berbelanja sesen pun di jendela perpindahan pemain pada musim panas ini.

Mengambil kira status dan kebiasaan kelab LaLiga ini, perkara ini dianggap luar biasa.

Malah Real Madrid mencatat keuntungan melebihi 100 juta euro apabila melepaskan pemain seperti Achraf Hakimi, Oscar Rodriguez, Sergio Reguilon dan James Rodriguez.

Los Blancos turut dibebaskan dari bebanan membayar gaji tinggi apabila melepaskan Gareth Bale kepada Tottenham Hotspur secara pinjaman.

Ada beberapa faktor dipercayai telah mempengaruhi bagaimana Real Madrid berurusan di jendela perpindahan kali ini seperti pembinaan semula Estadio Santiago bernabeu yang sedang rancak – dan semestinya menggunakan kos yang tinggi – serta kemungkinan hierarki tertingi kelab akan melakukan pemotongan gaji pemain buat kali kedua untuk menyelamatkan kantung kelab.

Selain daripada itu, Real Madrid sebenarnya mungkin sedang melakukan persediaan untuk menyediakan tawaran menarik khusus untuk Kylian Mbappe pada musim panas akan datang.

Kontrak pemain muda Perancis bersama Paris Saint-Germain (PSG) itu kini memasuki tahun terakhir dan Mbappe turut meluahkan keinginan untuk meninggalkan Parc des Princess selepas tamat saingan pada musim ini.

Tahun ini merupakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun Real Madrid tidak melakukan sebarang pembelian pemain di jendela perpindahan.

Kembalinya pemain-pemain dari pinjaman seperti Martin Odegaard, Alvaro Odriozola dan Andriy Lunin pula bertindak seperti pemain yang baru dibawa masuk oleh Zinedine Zidane.

Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea pula menjadi kelab paling mewah berbelanja kali ini iaitu sebanyak 247 juta euro. Pada musim panas ini, Frank Lampard telah mengesahkan ketibaan Kai Havertz, Timo Werner, Ben Chilwell, Hakim Ziyech Eduoard Mendy.

Manchester City turut tiak ketinggalan apabila membelanjakan 157 juta euro untuk dua pemain pertahanan tengah – Nathan Ake dan Ruben Dias – dan juga Ferran Torres.

Di sebalik kemelut kewangan yang dihadapi, Barcelona bagaimana pun masih menjadi antara tiga kelab berbelanja paling besar di eropah kali ini.

Penjualan dan pertukran pemain di antara Miralem Pjanic dan Arthur Melo menyumbang kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan. Gergasi Catalan itu turut membawa masuk Sergino Dest dar Ajax namun melepaskan Nelson Semedo kepada Wolves.

Malah kelab seperti Atletico Madrid mampu berbelanja sebanyak 90 juta euro dengan Yannick Carrasco dan Alvaro Morata menjadikan tempoh pinjaman menjadi perpindahan tetap, selain Lucas Torreira yang tiba dari Arsenal.

Kelab Premier League masih mendominasi senarai teratas kelab paling aktif di eropah dengan kelab seperti Tottenham, Arsenal, Manchester United dan Liverpool berbelanja 79 juta euro minima.

Juara Eropah, Bayern Munich pula hanya membelanjakan 64 juta euro untuk membawa masuk Leroy Sane dan Marc Roca.

 

Sumber: Marca

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.