Permohonan Maaf Terbuka Richarlison Terhadap Insiden Terjahan Kasarnya Ke Atas Thiago Alcantara

Penyerang Everton, Richarlison telah membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran terjahan kasarnya ke atas pemain midfield Liverpool Thiago Alcantara.

Pemain kebangsaan Brazil itu telah dibuang padang dalam perlawanan Merseyside Derby yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 di Goodison Park kerana terjahan kasarnya ke atas Thiago.

Untungnya, Thiago Alcantara masih lagi mampu untuk meneruskan aksi dalam baki lima minit terakhir perlawanan, namun beliau telah dikejarkan ke hospital sebaik perlawanan tamat.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp sendiri telah menyatakan bahawa keadaan terkini Thiago sepertinya tidak bagus dan kecederaannya mungkin serius.

Richarlison telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas terjahan kasarnya dengan membuat kenyataan di laman rasminya sendiri beserta penjelasan bagaimana kejadian tersebut berlaku.

Richarlison menyatakan bahawa beliau sama sekali tiada niat untuk mengasari bekas bintang Barcelona dan Bayern Munich itu dan kejadian tersebut sememangnya tidak disengajakan.

“Semua orang yang tahu latar belakang saya pasti tahu bahawa saya tidak pernah menjadi pemain yang ganas.”

Tulis Richarlison di laman web rasminya.

“Saya tidak bermaksud untuk masuk ke dalam situasi itu dengan niat untuk mencederakan Thiago. Ketika saya lihat akan terjadi pertembungan, saya mengangkat kaki dan melanggarnya dengan lutut saya, ianya tidak boleh dikawal memandangkan kelajuan permainan ketika itu.”

“Saya sudah mengirim pesanan maaf kepada beliau dan saya juga melakukannya disini secara terbuka. Saya berharap dia tidak parah dan semuanya akan segera pulih.”

“Saya juga memohon maaf kepada rakan sepasukan saya, kepada kelab saya dan kepada para peminat kerana sikap saya dihujung perlawanan. Malang sekali, ianya tiada apa yang boleh saya lakukan untuk mengubah apa yang sudah terjadi, melainkan bertindak, bekerja dan melupakannya.”

Reaksi Joe Gomez ketika melihat Thiago Alcantara diterjah oleh Richarlison telah tular di media sosial dan jelas terlihat bertapa prihatinnya beliau kepada rakan sepasukannya.

Para peminat tertarik dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Gomez terhadap insiden yang mengerikan itu.

Pemain kebangsaan England itu sudah melalui beberapa siri kecederaan sepanjang kariernya dan sudah tentu beliau tahu bagaimana sukarnya proses pemulihan dari sesuatu kecederaan itu.

Rakan yang tular itu jelas memperlihatkan Gomez rebah dan bersujud di atas padang seperti beliau takutkan Thiago bakal mengalami kecederaan serius atau mungkin bimbang kaki rakan sepasukannya itu patah.

Bekas bintang midfield Liverpool, Steve McManaman telah ditugaskan sebagai komentator untuk BT Sport telah melihat sendiri kejadian terjahan ngeri itu dan beliau tidak sanggup untuk menonton ulang tayangnya semula.

Menurutnya terjahan itu terlalu ngeri dan memungkinkan untuk seseorang pemain itu boleh patah kaki sama seperti terjahan yang dilakukan oleh Jordan Pickford keatas Virgil Van Dijk.

Jordan Pickford turut melakukan terjahan yang sangat sadis ke atas Van Dijk hingga menyebabkan bintang Belanda itu keluar dan turut dikejarkan ke hospital selepas perlawanan tamat.

Namun untuk Richarlison sendiri beliau telah dihukum dengan layangan kad merah, manakala untuk Jordan Pickford pula beliau terselamat dan tidak dikenakan sebarang amaran.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Virgil Van Dijk mungkin mengalami masalah ACL dan kemungkinan beliau akan berehat selama tujuh hingga lapan bulan.

“Ianya semakin sukar dan sangat susah untuk diterima. Perlawanan derby terbaik yang kami telah mainkan disini. Jaringan kami sungguh menakjubkan. Saya meninggalkan padang dan Thiago beritahu saya bahawa beliau cedera kerana terjahan Richarlison.”

“Keadaan Van Dijk juga sepertinya sulit untuk dijelaskan dan beliau terlihat agak teruk.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.