Perlumbaan Yang Tertangguh Begitu Lama Kerana Ketiadaan Minyak

Motosikal pertama telah dijual pada tahun 1894 hasil keluaran  Hildebrand & Wolfmüller dari Jerman. Beberapa tahun kemudian perlumbaan pertama sepanjang 400km telah diadakan di Perancis. Dari tahun 1906, Britain telah menganjurkan Tourist Trophy (TT) di Isle of Man. Melalui perlumbaan itu perlumbaan motosikal mula berkembang ke beberapa negara Eropah.

DSJ & Eric Oliver 1949 – Foto : Code Trix

Pada tahun 1938, FICM (Federation Internationale des Club Motocyclistes) yang dahulunya dikenali sebagai FIM ( Fédération Internationale de Motocyclisme) telah ditubuhkan dan mengumumkan pertandingan European Championship. Walau bagaimanapun, kejohanan ini tertangguh kerana meletusnya Perang Dunia Kedua. Kejohanan ini mengambil masa agak lama untuk direalisasikan semula kerana ketiadaan bahan api untuk digunakan oleh jentera akibat perang yang melanda.

Selepas sekian lama tertangguh, FIM telah menganjurkan kejohanan motosikal paling berprestij di dunia iaitu Road Racing World Championship Grand Prix di Isle of Man TT dalam bulan Jun 1949. Perlumbaan pertama ini telah menggunakan format dan undang-undang yang diperkenalkan oleh FIM dan masih diguna pakai sehingga hari ini. Pada perlumbaan itu kategori ‘premier class 500’ telah dimenangi oleh pelumba British iaitu Leslie Graham yang menunggang jentera AJS. Manakala Freddie Frith (Veloctte) untuk kelas 350cc, serta pelumba Itali, Bruno Ruffo (Moto Guzzi) 250cc dan Nello Pagani (Mondial) 125cc memenangi kejohanan dunia pertama dalam kelas masing-masing. Selain kejohanan dunia, kejohanan ‘sidecar’ 600cc di musim yang sama telah dimenangi oleh Briton Eric Oliver dan Denis Jenkinson dengan jentera Norton. Pada tahun 1951, kategori ‘sidecar’ telah bertukar menjadi pertandingan 500cc.

https://www.youtube.com/watch?v=UqUa0dduw9o

Pengeluar motosikal yang berpengkalan di Itali seperti Mondial, Moto Guzzi, Gilera serta MV Agusta menguasai Kejohanan Dunia pada tahun 1950-an dan ini menunjukkan kekuatan Itali sebagai pengeluar motosikal pada masa itu. MV Agusta merupakan pengeluar yang paling berjaya ketika itu dimana mendominasi kesemua Kejuaraan Dunia dalam keempat-empat kelas selama tiga musim berturut-turut dari 1958-1960. Kejayaan MV Agusta dalam kelas 500cc berterusan selama 17 tahun dari 1958 hingga 1974.

Sementara Italy mempunyai Mv Agusta untuk dibanggakan, tanpa sedar telah munculnya kuasa baru dalam sukan permotoran dunia pada tahun 1960. Jepun melalui Honda, Suzuki dan Yamaha telah menyertai kejohanan dunia. Honda antara kuasa baru yang menyertai Kejohanan Dunia dengan jentera 125cc dan 250cc pada tahun 1960. Kedatangan Honda telah berjaya mencuri tumpuan dunia pada tahun 1961 melalui kemenangan tempat pertama Tom Philis yang menunggang jentera Honda 125cc dalam pusingan pertama di Spanish Grand Prix. Di pusingan kedua musim yang sama, Kunimitsu Takahashi menjadi pelumba Jepun pertama memenangi perlumbaan dalam kelas 250cc dengan menggunakan jentera Honda. Dalam tahun yang sama Honda telah memenangi Kejuaraan Dunia berganda bagi kategori 125cc dan 250cc. Selain Honda, Suzuki juga mengecapi kejayaan pada tahun 1962 dengan memenangi kejuaraan dalam kelas 50cc yang diperkenalkan dalam tahun yang sama.

Legenda Giacomo Agostini menjadi penunggang pertama dalam kejohanan dunia yang memenangi kejuaraan dunia selama lima tahun berturut-turut dengan dua kelas berbeza iaitu 350cc dan 500cc pada tahun 1968 hingga 1972. Beliau yang diiktiraf sebagai pelumba paling berjaya dalam sejarah MotoGP membuat kemunculan pada tahun 1963. Kemuncak kecemerlangan Agostini yang menunggang jentera MV Agusta bermula dalam tahun 1968.

MELBOURNE, AUSTRALIA – JANUARY 25: Giacomo Agostini of Italy poses for a portrait during a portrait session at the Carlton Gardens on January 25, 2013 in Melbourne, Australia. Agostini won a world record 15 World Titles during his racing career between 1965 to 1976. (Photo by Robert Cianflone/Getty Images)

MV Agusta terus menguasai kejohanan dunia sehingga awal 1970-an. Honda yang memencilkan diri selama lebih kurang dua belas tahun kembali menyertai Kejohanan Dunia pada tahun 1977. Pada tahun 1983, Honda telah mengubah falsafah permotoran mereka dengan membina jentera dua strok V3 500cc yang diberi nama NS500. Tahun yang sama juga telah menyaksikan pertandingan sengit dua penjuru antara Yamaha dan Honda. Sepanjang 12 perlumbaan MotoGP musim 1983, Kenny Roberts (Yamaha) dan Freddie Spencer (Honda) telah merebut petak hadapan dan memenangi kejuaraan secara bergilir-gilir antara mereka berdua. Ini menjadikan musim 1983 sebagai musim yang tidak dapat dilupakan oleh peminat MotoGP. Kemuncak musim 1983 menyaksikan Honda berjaya menjuarai Kejohanan Dunia pertama untuk kategori pengeluar dalam kelas 500cc melalui Freddie Spencer.

Selepas 34 tahun Kejuaraan Dunia dilaksanakan, akhirnya kelas 350cc telah ditamatkan dan meninggalkan hanya kelas 50, 125, 250 dan 500 cc untuk dipertandingkan. Walaubagaimanapun kelas 50cc telah digantikan dengan kelas 80cc pada tahun 1984. Namun ia hanya mampu bertahan selama enam musim.

Menjelang 1990 telah menyaksikan kemunculan bakat-bakat baru dari Amerika Syarikat. Nama-nama seperti Eddie Lawson, Freddie Spencer, Wayne Rainey , Kevin Schwantz dan Randy Mamola mula mencuri perhatian peminat MotoGP. Pada masa ini saingan sengit antara pengeluar dari Jepun mendominasi Kejuaraan Dunia. Perseteruan antara Honda, Suzuki dan Yamaha bukan hanya dalam penjualan motosikal tetapi juga membawa ke litar lumba. Era ini juga menyaksiakan pengeluar dari Eropah seperti Derbi, Garelli serta Aprilai mula menceburi arena perlumbaan bagi melawan kuasa pengeluar Jepun. Pada tahun 1997, Piala Dunia Sidecar telah diperkenalkan dan mengeluarkan pertandingan ‘sidecar’ daripada Kejohanan Dunia MotoGP.

Di akhir tahun 1990-an, Kelas 500cc dikuasai sepenuhnya oleh Honda melalui legenda Mick Doohan dari Australia. Mick Doohan menjadi pelumba kedua yang memenangi lima kejuaraan dunia secara berturut-turut sebelum era moden perlumbaan MotoGP menjengah. Penguasaan Mick Doohan dalam MotoGP berakhir selepas kemalangan pada tahun 1998 dan seterusnya mengumumkan persaraan dari sukan permotoran.

Pada tahun 2001, Valentino Rossi pelumba muda dari Italy telah memenangi Kejuaraan Dunia terakhir yang dipertandingkan dalam kelas 500cc sebelum semakan peraturan dan undang-undang dilakukan oleh FIM. Selepas semakan peraturan dan undang-undag, Kejohanan Dunia telah dijenamakan semula sebagai MotoGP™ pada tahun 2002. Bermulalah era perlumbaan jentera 990cc. Kejohanan MotoGP™ terus diungguli Rossi selama empat tahun berturut-turut bersama dua pasukan yang berbeza iaitu dua kali dengan Honda manakala dua kali lagi bersama Yamaha. Penguasaan Rossi tamat pada tahun 2006 dengan kehadiran Dani Pedrosa.

Dua peraturan baru diperkenalkan pada tahun 2007 iaitu mengawal bilangan penggunaan tayar untuk setiap pasukan serta pengurangan saiz enjin jentera dari 990cc kepada 800cc. Jentera Ducati yang menggunakan tayar Brisgestone telah berjaya mencuri tumpuan pada tahun 2007 melalui Casey Stoner yang menjadi penunggang pertama dalam era baru memenangi kejuaraan dunia. Kejayaan Stoner tidak bertahan lama selepas Rossi kembali di puncak dengan menjuarai kejuaraan dunia buat kali keenam pada tahun 2008.

Pada tahun 2009 sekali lagi peraturan penggunaan tayar diubah. Peraturan penggunaan tayar satu jenama diperkenalkan dan Bridgestone menjadi pengedar tunggal untuk perlumbaan MotoGP™. Ia sedikit pun tidak menghalang Rossi memenangi kejuaraan dunia buat kali ke tujuh. Kehadiran Jorge Lorenzo pada tahun 2010 telah melenyapkan impian Rossi memenangi kejuaraan dunia buat kali kelapan bagi menyamai pencapaian rekod sepanjang zaman Giacomo Agostini dengan lapan kejuaraan dalam kelas premier. Casey Stoner yang menunggang Honda telah menjuarai Kejuaraan Dunia bagi musim 2011.

Jentera 1000cc mula diperkenalkan dalam musim 2012. Sekali lagi Jorge Lorenzo melalui Yamaha Factory Racing berjaya memenangi Kejuaraaan Dunia. Kemunculan Marc Marquez telah memberi ‘spotlight’ baru dalam MotoGP™ dengan pasukan Repsol Honda Team. Memenangi kejuaraan dunia pertama di kemunculan musim pertama dalam kelas premier pada tahun 2013 dan mengulanginya semula pada tahun 2014. Sesuatu yang menakjubkan bagi seorang yang dilabel sebagai rookie dalam kalendar MotoGP™ pada ketika itu.

Jorge Lorenzo kembali menjuarai Kejuaraan Dunia untuk musim 2015. Musim yang tidak akan dilupakan peminat MotoGP™ era moden yang menyaksikan pertandingan yang penuh drama antara Lorenzo-Marquez-Rossi. Perebutan Kejuaraan Dunia antara Lorenzo dan Rossi selaku juara dunia hanya dapat ditentukan dipusingan terakhir musim 2015.

Foto – Dailymail

Pada tahun 2016 menyaksikan perubahan peraturan teknikal yang paling besar sejak pengenalan enjin 4 strok pada tahun 2002. Michelin telah menggantikan Bridgestone sebagai pengedar tayar tunggal untuk perlumbaan MotoGP™. Manakala Magnetti Mareli telah dibawa masuk sebagai pembekal ‘hardware’ serta ‘software’ jentera perlumbaan. Peluang kembali terbuka untuk semua persaingan. Kejuaraan Dunia 2016 adalah milik Marc Marquez bersama pasukan Repsol Honda Team melalui tunggangan yang agresif di Motegi.

Perubahan penunggang berlaku diawal musim 2017. Jorge Lorenzo menyertai Ducati manakal Maverick Vinales berpindah ke Movistar Yamaha. Selain itu penyertaan KTM melalui pasukan Red Bull KTM Factory Racing dalam perlumbaan MotoGP™ 2017 juga menambahkan lagi bilangan penyertaan dari syarikat pengeluar motosikal dunia.

Foto – Motorcycle.com

Siapakah yang bakal mengungguli Kejuaraan Dunia 2017?

Sama-sama kita nantikan.

Sumber

  1. Motogp.com
  2. Hondaracingcorporation.com
  3. Fim-live.com

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Shah Rafi untuk diterbitkan di Sukan.my

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.