Ruben Dias dan Virgil Van Dijk sering dibandingkan oleh para peminat pada musim ini dan perbandingan antara kedua-dua pemain itu telah menjadi topik perbualan hangat di media sosial.
Selepas berakhirnya kempen saingan liga musim ini, kedua-dua pemain telah dibandingkan mengikut statistik musim pertama masing-masing.
Dias telah ditandatangani dari Benfica pada musim panas yang lalu dan beliau telah mempamerkan aksi permainan sungguh menakjubkan bersama City pada musim pertamanya dalam saingan premier league.
Kehebatan beliau mengawal barisan pertahanan City telah membantu skuad kendalian Pep Guardiola itu untuk menjuarai saingan Premier League dengan sekadar bolos 32 gol sahaja musim ini.
Impak yang dibawa oleh pemain centre-back Portugal itu membawa kepada perbandingan dengan impak yang dibawa oleh Van Dijk pada musim pertamanya di Anfield pada musim 2018/19.
Virgil Van Dijk pada musim ini hanya beraksi sebanyak lima perlawanan sahaja sebelum diketepikan dek kerana dibelenggu masalah kecederaan.
Dan dek kerana beliau tidak bermain pada musim ini, maka sukar untuk membuat perbandingan antara Van Dijk dengan Dias mengikut prestasi pada musim ini.
Namun ramai yang berminat untuk membandingkan kedua-dua pemain itu mengikut statistik musim pertama mereka.
Statistik Van Dijk bersama Liverpool pada musim 2018/19 telah dibandingkan dengan statistik musim pertama Dias bersama City musim ini.
Statistik Van Dijk jelas menunjukkan bagaimana hebat dan menakjubkannya beliau pada musim 2018/19, dan ia jauh lebih hebat berbanding statistik yang dicatatkan oleh Dias pada musim ini.
Walau bagaimanapun, untuk bersikap lebih adil, terdapat beberapa faktor yang menjadikan bekas pertahanan Benfica itu mencatatkan statistik yang lebih rendah berbanding Van Dijk.
Pertama sekali, bintang berusia 24 tahun itu jelas mengharungi musim debutnya bukan hanya bersama City bahkan musim ini merupakan musim pertamanya dalam saingan premier league.
Jika dilihat kepada Van Dijk, sebelum musim 2018/19, beliau sudah bermain dalam saingan premier league bersama Southampton dan beliau jelas sudah membiasakan diri dengan budaya bola sepak Inggeris.
Dias juga mula menyertai Premier League dengan cara yang agak aneh dengan tiada pra musim dan bermacam hal lagi dek kerana penularan wabak pandemik.
Skuad kendalian Pep Guardiola juga dilihat sukar untuk membiasakan diri mereka pada awal musim lalu sebelum kembali selesa mencatatkan kemenangan demi kemenangan dan akhirnya memimpin carta liga.
Maka secara statistiknya musim pertama Van Dijk sebenarnya jauh lebih bagus berbanding Dias dengan bintang Belanda itu mempunyai kelebihan dari pelbagai sudut.
Tentunya menarik untuk menyaksikan kedua-dua mereka kembali beraksi pada musim hadapan dan membuktikan siapa lebih hebat di atas padang.