Manchester United telah melancarkan jersi ketiga mereka pada musim ini. Dan seperti dijangka jersi bercorak jalur hitam dan putih itu mendapat pelbagai jenis respon daripada penyokong mereka sendiri.
United jelas mahu mempromosikan jersi tersebut yang disifatkan lain daripada yang lain, sehingga menjadikan bekas pemain dan ikon bola sepak dunia, David Beckham sebagai model jersi tersebut.
Introducing the new 2020/21 @ManUtd Third jersey, available now: https://t.co/xwNgOG7lXA.#ReadyForSport pic.twitter.com/24jcWegKAe
— adidas Football (@adidasfootball) September 8, 2020
Beberapa pemain utama seperti Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Scott McTominay turut menggayakan jersi tersebut sebagai langkah promosi.
Namun penyokong di media sosial tampil dengan pendapat sama, menyamakannya dengan zebra, selain daripada komen berbunyi: ‘Ramai akan menggunakan jersi ini untuk melintas jalan!’
Malah ada antara penyokong berpendapat Beckham yang tampil menjadi model tidak membawa perbezaan dengan berkata: ‘Beckham pakai pun tak ubah ia buruk’ atau dalam dialek Kelate: ‘Beckham Paka Pon Hudoh!’
Pengeluar jersi tersebut adidas sebenarnya menyedari akan sambutan oleh penyokong United, namun mempunyai pendapat mereka sendiri untuk tampil dengan rekaan pelik dan jelek itu.
Menurut syarikat pengeluar barang sukan dari Jerman itu, rekaan tersebut menampilkan kemaskini terkini kepada tradisi, sambil memberikan semangat kepada cetakan baharu jersi ini.
United bukan kali pertama menampilkan jersi berjalur sebegini, kali pertama pada 100 tahun lalu, sebelum turut memakainya pada 1970an dan 1980an.
Kolar jersi tertera ‘100 tahun lalu’, mengingatkan sejarah kelab tersebut.
Apa pun sebab diberikan adidas, ia tetap tidak dapat mengelak daripada kejian penyokong yang geli dengan rekaan tersebut.
Malah ia dianggap sebagai rekaan terburuk di dalam sejarah Manchester United.