Penyokong AS Roma Dengar Video Mesej Dari Totti Dan Bangkit Dari Koma Sejak Disember

Seorang penyokong AS Roma bangkit dari keadaan koma setelah mendegar mesej video daripada pemain legenda kelab itu, Francesco Totti.

Ilenia Matili berusia 19 tahun terlibat dalam kemalangan ngeri setelah kereta yang ditumpangnya terbabas dan terlanggar pokok ketika dalam perjalanan pulang bersama rakan-rakan pada awal pagi Disember lalu.

Martina Oro, sahabat kepada Ilenia yang memandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Ilenia adalah seorang penyokong Roma, namun merupakan anggota skuad wanita Lazio sejak beberapa musim lalu.

Selepas kejadian, Ilenia dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter untuk menyelamatkan nyawanya.

Akibat kecederaan serius di bahagian kepala, Ilenia berada di dalam keadaan koma selama 9 bulan.

Kedua ibu bapanya kerap memainkan lagu tema Roma di sisi katik Ilenia, dan terbaru satu video mesej dari Totti yang menyebabkan gadis itu sedar dari koma.

Digelar Il Capitano, Totti beraksi bersama Roma sepanjang karier profesionalnya. Dalam mesej kepada Ilenia, Totti berkata:

“Ilenia, jangan menyerah kalah. Anda boleh lakukannya. Kami semua bersama anda.”

Kedua0dua ibu bapa Ilenia nyara gembira dengan keadaan terkini anak gadis mereka dan berterima kasih kepada Totti. Bercakap kepada Repubblica, mereka berkata:

“Suara menarik anda, dicampur dengan kesungguhan, dan kasih yang sentiasa dimiliki oleh Ilenia terhadap Roma kini telah membangunkan dia dari koma. Senyumannya telah kembali, dan matanya kembali menyinar dengan kegembiraan.”

Keluarga Ilenia dikatakan mahu berjumpa dengan Totti secara peribadi untuk menyampaikan ucapan terima kasih. Buat masa ini, Ilenia masih lagi memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Kami menanti masa untuk berjumpa dengan kamu (Totti), Illenia sedang menanti kamu,” tambah ibu bapa Ilenia lagi.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.