Penjaga Gol Ini Mempunyai Kemampuan Menumbuk Bola Yang Sungguh Mengagumkan

Tuan-tuan dan puan-puan, memperkenalkan Ibrahim Alma, penjaga gol berusia 29 tahun dari Syria yang mempunyai kemampuan menumbuk bola yang sungguh luar biasa mengagumkan.

Alma telah beraksi bersama beberapa buah pasukan dalam saingan Syrian premier league sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara pasukan yang pernah beliau wakili adalah seperti Al-Wahda, Al-Shorta dan Al-Wathba.

 

Beliau juga telah membuat 61 penampilan untuk pasukan kebangsaan Syria sejak dari tahun 2012 yang lalu.

Beliau turut menghabiskan 10 tahun yang gemilang di peringkat profesional dengan membuat lebih dari 150 penampilan sepanjang kariernya.

Apa yang membezakan beliau dengan penjaga gol yang lain? Alma memiliki kemampuan menumbuk bola yang sungguh luar biasa mengagumkan.

Bakat dan kemampuan Alma mula tular ketika dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Japan pada tahun 2018.

Kebiasaannya seseorang penjaga gol selepas menangkap bola dan mahu meneruskan permainan, mereka akan membaling kepada pemain terdekat atau melepaskan rembatan untuk mengeluarkan bola dari kawasan mereka.

Dalam perlawanan tersebut, Alma memutuskan untuk mencuba sesuatu yang berbeza dengan beliau menggunakan teknik seperti service bola tampar untuk menghantar bola kepada rakan sepasukannya yang lain.

Apa yang menariknya adalah, bola tumbukan beliau itu mampu pergi jauh melebihi garisan tengah padang dan menemui rakan sepasukannya yang berada di atas.

Lebih hebat lagi, itu bukanlah kali pertama penjaga gol Syria itu melakukan teknik sama dengan sempurna.

Beliau sebenarnya sudah sering melakukan teknik tersebut dan harus dipuji, tumbukan beliau sememangnya luar biasa mengagumkan.

Aksi penjaga gol berusia 29 tahun itu menumbuk bola sudah sering tular di media sosial dengan ramai peminat bola sepak seluruh dunia kagum dengan kemampuannya.

Andai Alma handal dalam menumbuk bola, penjaga gol Manchester City, Ederson pula merupakan pemegang Guinness World Record untuk penendang bola paling jauh.

Penjaga gol kebangsaan Brazil itu telah menerima sijil Guinness World Record pada tahun 2019 selepas beliau memecahkan rekod tendangan paling jauh dalam jarak 75.35m.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.