Pengarah Sukan Salzburg Dedah Haaland Akan Sertai Liverpool

Hampir setahun Erling Braut Haaland telah meninggalkan RB Salzburg dan menyertai Borussia Dortmund di Bundesliga Jerman, namun berita perpindahan penyerang sensasi remaja ini tidak pernah sunyi.

Ini kerana pada usia yang muda, Haaland dijangka akan membuat langkah seterusnya di dalam bola sepak untuk persaingan yang lebih kompetitif.

Dan Pengarah Sukan RB Salzburg baru-baru ini mendedahkan kepada Sky Sports bekas pemain kelab Austria itu akan menyertai Liverpool satu hari nanti.

Penyerang sensasi Norway itu meninggalkan Salzburg untuk ke Dortmund pada Januari 2020, dan telah menjaringkan 24 gol dari 27 penampilan bersama kelab baharunya itu.

Di Jerman, Haaland semestinya berharap mampu mencabar kejuaraaan Bundesliga bersama Dortmund – pertandingan yang didominasi oleh Bayern Munich.

Berjaya atau tidak Haaland merealisasikan impian tersebut, Christoph Freund yakin penyerang itu akan mengambil langkah seterusnya selepas ini.

Tampil di dalam rancangan Sky Sports bersama legenda bola sepak Jerman Lothar Matthaus baru-baru ini, Freund bersetuju dengan idea Matthaus pemain seperti Haaland akan ke Anfield satu hari nanti.

“Di situlah [Liverpool] destinasi akhirnya nanti,” kata Freund mengiakan Matthaus.

“Dia boleh bermain di mana-mana kelab di dunia. Dengan mentaliti dan kesungguhan yang dimiliki, dan tahap keyakinan yang ada dia akan meninggalkan kesan mendalam kepada bola sepak eropah untuk 10 tahun yang akan datang.”

Matthaus turut mempunyai pendapat beliau tersendiri mengapa Haaland akan meninggalkan Dortmund dan berhijrah kelab lebih besar pada masa akan datang.

“Dortmund adalah salah sebuah kelab paling hebat di Eropah, tetapi di sini kita ada lima atau enam pasukan yang lebih baik di mana ia berpotensi menjadi pilihan Haaland untuk beraksi satu hari nanti.

“Saya memikirkan kelab atasas (elit); tidak semestinya Bayern Munich kerana Robert Lewandowski akan masih beraksi untuk dua atau tiga tahun lagi, dan Haaland tidak akan kekal di Dortmund selama itu.”

Haaland mengumumkan ketibaan dirinya di bola sepak Eropah dengan menjaringkan 28 gol dari 22 perlawanan pada musim pertama penuhnya di Salzburg. Ia adalah satu-satunya musim penuh Haaland di Salzburg sebelum disambar Dortmund.

Namun demikian Freund berpendapat Salzburg tidak rugi dan ia adalah perkara yang normal untuk kelab seperti Salzburg menjual pemain terbaiknya.

“Kisah Erling bukan perkara baharu dalam perkara ini,” kata Freund kepada Goal sebelum ini.

“Perpindahan tersebut tidak melukakan kami langsung. Malah ia membuatkan kami rasa bangga kerana ia adalah sebahagian dari konsep yang kami percaya dan lakukan di sini.

“Pemain boleh mengambil langkah seterusnya, dan kami juga mendapatkan pendapatan hasil dari perpindahan tersebut, di mana ia boleh dilaburkan untuk mencari bakat baru sebagai contoh.

“Lagipun apabila satu bakat pergi, ia meninggalkan ruang untuk bakat seterusnya tiba. Ia adalah penanda aras kami berada di landasan yang betul.”

Pada musim panas lalu, pemain penyerang Hwang Hee-chan turut meninggalkan Salzburg untuk menyertai RB Leipzig.

Namun Freund berkata kaitan pemilikan di antara kedua-dua kelab tidak bermakna ianya wajib untuk Salzburg membenarkan aset mereka berpindah milik begitu sahaja.

“Tidak. Kami masih lagi sebuah kelab yang berdiri senditi dan perlu membuat keputusan sendiri.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.