Penduduk Sedang Tidur Digemparkan Dengan Anthem Champions League Dari Stadium Kosong

Penduduk yang tinggal kawasan berdekatan stadium milik Rennes digemparkan sehingga terbangun dari tidur apabila bunyi lagu tema/anthem Champions League tiba-tiba berkumandang pada jam 3 pagi Rabu lalu.

Lagu tema Champions League – pertandingan elit kelab-kelab Eropah itu – jelas kedengaran dari pembesar suara di Roazhon Park.

Rennes bagaimanapun mengesahkan kelab tersebut telah mengadakan satu majlis kecil untuk meraikan kejayaan layak ke saingan peringkat kumpulan pertandingan tersebut buat kali pertama – setelah Sevilla menewaskan Wolves di pertandingan Europa League.

Kelab Ligue 1 itu memuat naik satu video di media sosial mereka pada 11 malam (waktu Perancis), menampilkan seorang DJ memainkan lagu tema Champions League itu.

Dan 4 jam kemudian, penduduk dan jiran tetangga yang tinggal berdekatan stadium tersebut dikejutkan dengan lagu tema tersebut sehingga terbangun dari tidur masing-masing.

Penduduk yang terganggu dengan bunyian tersebut berkata bunyi bising itu berterusan selama 20 minit.

“Muzik itu amat kuat,” kata seorang penduduk kepada akhbar Quest-France.

“Jujur saya rasakan setiap isi rumah di sekitar ini pasti terjaga dari lena masing-masing. Tetapi saya pasti ia akan lebih kuat pada hari perlawanan!

Sebuah video amatur yang tular di Twitter sempat merakam kejadian tersebut di luar stadium dengan lagu tema Champions League jelas kedengaran.

Tiada kenyataan rasmi dari pegawai dari Renes, tetapi Presiden kelab, Nicola Holveck mengesahkan majlis yang diadakan di Roazhon Park pada petang sebelum kejadian.

“”Kami mengadakan majlis kecil di stadium dengan dihadiri kakitangan dan beberapa pemain. Ia adalah petang yang amat, amat indah.”

Saingan Ligue 1 musim 2019/20 ditamatkan lebih awal berikutan keadaan kesihatan di negara tersebut ekoran penularan wabak global yang membimbangkan.

Rennes menamatkan saingan di tangga ketiga, bermakna kelab tersebut perlu melalui pusingan kelayakan sebelum ke pusingan peringkat kumpulan Champions League.

Bagaimanapun kejayaan Sevilla menewaskan Wolves bermakna slot yang dikhususkan untuk juara Europa League musim ini dimansuhkan, kerana kempat-empat pasukan yang mara sememangnya akan layak ke pertandingan tersebut secara merit pada musim hadapan.

Berdasarkan kedudukan liga oleh UEFA, slot tersebut secara automatik akan menjadi milik kelab dari Ligue 1, iaitu Rennes.

Kejayaan tidak disangka ini bermakna lagu tema Champions League akan terus berkumandang di Roazhon Park – sekurang-kurangnya tiga kali – pada musim hadapan.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.