Pendatang Baru Ligue 1 Malukan PSG Selepas Penjaga Gol Assist Untuk Lawan

Ia adalah permulaan buruk buat Paris Saint Germain (PSG) untuk kempen Ligue 1 pada musim ini selepas melalui kekalahan di perlawanan pertama pada musim ini.

Lebih mengejutkan PSG tewas kepada kelab yang baru mendapat promosi beraksi di Ligue 1 pada musim ini iaitu Lens.

Perlawanan ini tampil meragukan untuk diteruskan pada mulanya selepas finalis UEFA Champions League musim lalu itu hilang khidmat 7 pemain utama akibat dijangkiti wabak dunia.

Tanpa khidmat pemain bintang seperti Kylian Mbappe, pengendali PSG, Thomas Tuchel terpaksa menyandarkan harapan pasukan kepada pemain muda.

Kesempatan ini dipergunakan sepenuhnya oleh Lens yang tampil lebih bernafsu dengan meraikan kepulangan mereka ke divisyen teratas Liga Perancis itu dengan kemenangan.

Lebih malang buat PSG, gol yang dijaringkan oleh Ignatius Ganago adalah disebabkan kesilapan penjaga gol Marcin Bulka yang terhantar bola kepada pemain penyerang itu.

Perlawanan itu dimainkan di hadapan 5,000 penyokong yang dibenarkan hadir di Stade Bollaert-Delelis.

Neymar, Marquinhos, Angel di Maria dan Mauro Icardi adalah antara pemain yang tidak dapat beraksi untuk pasukan pelawat di perlawanan ini.

PSG terpaksa membayar dengan harga yang mahal akibat kekurangan itu apabila terpaksa menurunkan penjaga gol ketiga, Bulka yang begitu murah hati melakukan hantaran kepada lawan.

PSG akan berhadapan dengan Marseille pada perlawanan seterusnya yang akan berlangsung pada Ahad. Tuchel pasti akan mengharapkan beberapa pemain boleh kembali untuk memperkuatkan pasukan, atau nasib serupa akan berulang kembali.

 

Kesebelasan utama

Lens: Jean-Louis Leca; Jonathan Gradit, Loic Bade, Facundo Medina; Clement Michelin, Cheick Oumar Doucoure, Manuel Perez, Issiaga Sylla; Gael Kakuta, Ignatius Ganago, Simon Banza.

Paris Saint-Germain: Marcin Bulka; Juan Bernat, Presnel Kimpembe, Thilo Kehrer, Layvin Kurzawa; Marco Verratti, Idrissa Gana Gueye, Ander Herrera; Kays Ruiz-Atil, Arnaud Kalimuendo-Muinga, Pablo Sarabia.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.