Peminat United Kecam Shaw Kerana Abaikan Bruno Fernandes

Pertahanan Manchester United, Luke Shaw telah dikecam teruk di media sosial selepas beliau mengabaikan arahan yang diberikan oleh Bruno Fernandes ketika dalam perlawanan bertemu Chelsea semalam.

Perlawanan yang menemukan antara setan merah dan the blues itu telah dilangsungkan di Old Trafford dan berkesudahan dengan keputusan terikat tanpa jaringan.

Jentera serangan kedua-dua pasukan juga dilihat sangat tumpul dalam aksi 90 minit perlawanan tersebut dan gagal untuk melancarkan sebarang serangan berbahaya.

Terdapat beberapa insiden kontroversi yang terjadi dalam perlawanan tersebut termasuklah insiden yang melibatkan Bruno Fernandes dengan Luke Shaw.

Pada minit ke-79 permainan, Bruno Fernandes dilihat sedang memberi arahan kepada Luke Shaw dan arahan tersebut telah diabaikan saja oleh pemain pertahanan United itu.

Pemain midfield Portugal itu sedang berada di posisi sayap kiri dan ketika itu beliau meminta Shaw untuk melakukan overlap supaya Kante mengikutinya.

Idea Fernandes sangat bijak supaya beliau memperoleh ruang untuk masuk ke dalam kotak atau setidaknya memberi ruang untuk Shaw sendiri melakukan hantaran.

Namun Shaw telah mengabaikan arahan tersebut dan hanya berdiri kaku melihat Fernandes dan apa yang mengecewakan peminat adalah Shaw sepatutnya mempunyai kemampuan untuk melakukannya namun beliau memilih untuk tidak.

Oleh kerana Shaw mengabaikan arahannya, Fernandes akhirnya membuat keputusan untuk menghantar semula bola tersebut kepada Fred.

Oleh kerana melihat aksi mantap Alex Telles ketika debutnya bersama United bertemu PSG dalam saingan liga Juara-juara kemarin, para peminat sangat berharap agar Ole mengetepikan Shaw dan memilih penandatanganan baru mereka itu.

Selain itu, turut terjadi insiden panas lain dalam perlawanan tersebut yang mana Chelsea mendakwa mereka seharusnya telah memenangi perlawanan tersebut seandainya pengadil tidak menafikan hak sepakan penalti yang seharusnya mereka terima.

Pada minit ke-39 perlawanan, pertahanan Chelsea, Azpilicueta telah melakukan lompatan dalam kotak penalti ketika pasukannya sedang mengambil sepakan sudut.

Namun ketika itu Maguire telah meletakkan tangannya di leher ketua pasukan Chelsea itu dengan gaya seperti melakukan Headlock, dan menanduk bola keluar dari kawasan bahaya.

Ianya jelas Maguire menghalang Azpilicueta dari melakukan lompatan dan cara halangan beliau juga sangat teruk seolah-olah seperti beliau sedang bergusti dengan ketua pasukan Chelsea itu.

Para pemain Chelsea meminta pengadil perlawanan, Martin Atkinson untuk menghadiahkan mereka sepakan penalti, namun permintaan mereka tidak dilayan.

Namun adakah VAR benar-benar menyemak insiden tersebut?

Terdapat laporan dari The Athletic yang menyatakan bahawa VAR ada merujuk kejadian tersebut dan kerana permainan tersebut tetap diteruskan, maka VAR menganggap keputusan atas padang adalah tepat.

Oleh kerana itu, para peminat Chelsea sedikit marah dengan ketua pasukan mereka, Cesar Azpilicueta kerana tidak bertindak dengan betul dan lebih agresif ketika membantah keputusan pengadil perlawanan ketika itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.