Peminat Bengang Melihat Aksi Biadap Amartey Menghina Chelsea

Daniel Amartey telah melakukan satu hal yang sungguh biadap dan mengundang kemarahan para penyokong Chelsea.

Ketika beliau meraikan kejayaan Leicester menjuarai Piala FA, Amartey dengan sengaja telah mencampakkan panji Chelsea ke atas lantai di bilik persalinan.

The Foxes berjaya menjuarai saingan Piala FA yang pertama dalam sejarah kelab mereka selepas menewaskan The Blues 1-0 di Wembley awal pagi tadi.

Youri Tielemans merupakan wira kepada Leicester City selepas menjaringkan satu-satunya gol untuk mengesahkan kemenangan The Foxes menewaskan Chelsea.

Terdapat begitu banyak adegan-adegan menarik berkait kejayaan Leicester City menjuarai Piala FA dengan Gary Lineker melompat keriangan di studio dan detik paling menarik adalah melihat bagaimana mesranya pemilik kelab terhadap pemain dan pengurus.

Srivaddhanaprabha dipanggil untuk menjulang Piala kemenangan dengan para pemain dan pengurus memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang ayahnya.

Selepas selesai keraian di atas padang, para pemain kemudiannya menyambung semula meraikan kejayaan mereka di dalam bilik persalinan.

Dengan beberapa orang pemain membuat siaran langsung di laman media sosial masing-masing, maka para peminat turut berkesempatan untuk menyaksikan bagaimana mereka bergembira.

Amartey entah mengapa dengan tiba-tiba mengambil kesempatan yang ada untuk melompat dihadapan salah satu kamera, lantas beliau memegang panji Chelsea dan mencampakkannya ke belakang.

Apa yang membuatkan para penyokong Chelsea begitu bengang adalah melihat panji tersebut jatuh betul-betul di atas lantai sambil Amartey membuat muka tak bersalah.

Bukan hanya peminat Chelsea, para penyokong pasukan seteru sendiri jelas tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh Amartey itu.

Para peminat meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial dengan mengkritik tindakan Amartey.

Chelsea mungkin boleh menggunakan hal ini sebagai motivasi untuk mereka membalas dendam ketika pertemuan bertemu Leicester dalam aksi saingan liga selasa nanti.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu semula pada malam selasa nanti yang mana mereka terdesak memerlukan kemenangan untuk melayakkan diri ke saingan liga Juara-juara musim hadapan.

Leicester City ketika ini berada di kedudukan ketiga dalam carta liga dengan mengumpul 66 mata sementara Chelsea berada di kedudukan keempat dengan mengumpul 65 mata.

Apa yang menariknya lagi, Liverpool ketika ini semakin menghampiri kedua-dua Chelsea dan Leicester dengan berada di kedudukan kelima dan berpotensi besar untuk menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas pada penghujung musim nanti.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.