Pemain Pertahanan Liverpool Ini Fobia Jika Perlu Kawal Messi Di Premier League

Premier League berkemungkinan akan menjadi destinasi pilihan Lionel Messi jika meninggalkan Barcelona.

Buat masa ini, Messi dijangka akan kekal dan menghasbiskan kontrak beliau selama setahun di Nou Camp sebelum memilih untuk berhijrah.

Manchester City sebelum ini dikhabarkan telah menawarkan kontrak berdurasi lima tahun – termasuk dua musim bersama New York City FC di Amerika Syarikat.

Ini bermakna prospek untuk melihat Messi beraksi di Premier League tetap ada, walaupun jika ianya tidak berlaku pada jendela perpindahan kali ini.

Sudah tentu ianya perkhabaran yang mengujakan ramai, namun tidak bagi pemain pertahanan yang perlu berhadapan dengan Messi, terutama bek kiri Liverpool, Andt Robertson.

Malah Robertson berharap perpindahan itu tidak akan menjadi kenyataan.

Pemain pertahanan antarabangsa Scotland itu berpendapat Messi adalah pemain paling sukar pernah dihadapinya, dan sekiranya boleh enggan berhadapan lagi dengan bintang dari Argentina itu.

Apatah lagi Messi bakal menyertai Manchester City yang dianggap seteru paling hampir untuk Liverpool di saingan domestik.

“Sudah tentu saya berharap ia [perpindahan Messi] tidak akan menjadi kenyataan,” kata Robertson dalam sidang media ketika ditanya mengenai prospek Messi menyertai Manchester City.

“Saya rasa Liverpool sudah menolak kemungkinan Messi akan menyertai kami, jadi saya tidak mahu Messi beraksi bersama mana-mana kelab lain di Premier League, dan kekal menjauhkan diri.

“Saya pernah beraksi berhadapan Messi dalam dua perlawanan dan ia adalah perlawanan yang paling sukar pernah saya lalui.

“Untuk kepentingan diri ini, saya berharap ia tidak berlaku dan beliau terus kekal di Barcelona.

“Beliau adalah pemain yang hebat, dan saya tiada keraguan beliau akan membawa kualiti yang sama jika beraksi di Premier League, dengan kesungguhan dan persamaan yang beliau tampilkan bersama Barcelona.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.