Pemain Muda Liverpool ‘Hitamkan’ Akaun Twitter Selepas Dihentam Penyokong Sendiri

Pemain muda Liverpool, Neco Williams bertindak menghitamkan akaun media sosial Twitter miliknya selepas mendapat cemuhan melampau dari penyokong sendiri yang terlalu emosi.

Cemuhan melampau dari penyokong yang emosi itu tiba selepas kesilapan yang dilakukannya dalam perlawanan Piala Carabao menentang Lincoln City.

The Reds membelasah Lincoln 7-2 di Piala Carabao pada Khamis lalu untuk mara ke pusingan seterusnya menentang Arsenal.

Jika statistik diambil kira, Williams sebenarnya beraksi dengan amat baik sekali, dan tanpa keraguan beliau bakal menjadi aset berguna untuk Liverpool satu hari nanti jika diberikan pendedahan yang betul.

Walaupun menampilkan permainan yang mantap dan cukup dominan, ia belum cukup untuk membuatkan sebahagian daripada penyokong berpuas hati, dan mulai mencemuh pemain muda itu di Twitter seperti tiada hari esok.

Pemain muda itu menjadi mangsa buli penyokong Liverpool secara online kerana kehilangan bola di bahagian sayap yang membenarkan gol pertama Lincoln – dijaringkan oleh Tayo Edun pada minit ke-60.

Kesilapan itu sebenarnya tidak memberi kesan pun kepada perjuangan Liverpool dan mara ke pusingan seterusnya.

Tindakan tidak bertamadun sebahagian penyokong Liverpool itu membuatkan pemain berusia 19 tahun itu menghitamkan akaun Twitter miliknya.

Ia kemudian disusuli oleh mesej-mesej sokongan dari penyokongs setia Liverpool yang lain dan bersimpati dengan pemain itu.

Ini adalah kali kedua Williams diturunkan beraksi apabila turut tampil dalam perlawanan Perisai Komuniti menentang Arsenal sebelum musim bermula.

Musim lalu, pemain muda ini beraksi dalam enam perlawanan selepas melakukan debut menentang Crystal Palace pada Jun lalu.

Dalam perlawanan ini Liverpool memberikan debut kepada pemain pertahanan Rhys Williams dan Kostas Tsimiskas, sementara penyerang bernilai £41 juta didatangkan dari Wolves dimasukkan pada babak kedua perlawanan.

Turut mencuri tumpuan dalam perlawanan ini ialah gol pembukaan oleh Xherdan Shaqiri dan jaringan Takumi Minamino yang memberikan pendahuluan selesa 2-0 buat Liverpool.

Takumi Minamino dan Curtis Jones masing-masing menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini untuk menjadikan kedudukan kepada lima gol tanpa balas.

Tayo Edun menjaringkan gol pertama Lincoln City pada minit ke-60 selepas kesilapan oleh Williams, namun Marko Grujic membalas dengan gol keenam lima minit kemudian.

Lincoln City tidak mengalah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 melalui Lewis Montsma dan kedudukan 6-2 tampak kekal hingga tamat.

Divock Origi menambah satu lagi gol lewat permainan untuk menjadikan kedudukan akhir 7-2.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.