Pemain Ini Dilayangkan Kad Merah Kerana Tunjukkan Kesilapan Pengadil Melalui Handphone

Kapten pasukan Sivasspor, Hakan Arslan telah dilayangkan kad merah selepas cuba membuktikan pengadil telah melakukan keputusan yang silap melalui telefon pintarnya.

Pemain tengah tersebut yang memulakan perlawanan menentang Besiktas dalam aksi Super Lig semalam cuba membantah keputusan pengadil yang akhirnya menyaksikan beliau kecewa selepas menerima arahan keluar padang ketika babak pertama perlawanan hampir berakhir.

Insiden berlaku selepas Sivasspor ketinggalan 1-0. Arslan dan rakan sepasukan yang lain bagaimanapun berpendapat gol tersebut tidak sepatutnya diberikan.

Ia mendorong pemain berusia 32 tahun itu pergi ke bangku pemain simpanan untuk mengambil telefon dan membuktikan dakwaannya.

Arslan tidak teragak-agak meletakkan telefon tersebut di hadapan muka pengadil perlawanan, hanya untuk beliau dilayangkan kad kuning kerana perbuatannya itu.

Bantahan oleh Arslan dipercayai kerana gol jaringan Guven Yalcin terlebih dahulu telah terkeluar dari permainan ketika gerakan dilakukan.

Arslan yang amat kecewa kemudiannya melontarkan telefonnya ke atas permukaan padang, menyebabkan beliau dilayangkan kad kuning kedua.

Dalam keadaan marah, Arslan boleh dilihat berjalan menuju ke terowong pemain sambil melakukan protes.

Mungkin ramai di kalangan penyokong yang bertanggapan tindakan Arslan menggunakan telefon untuk membuktikan sesuatu sebagai genius.

Namun demikian ia adalah perkara yang melanggar etika di mata pengadil perlawanan yang mempunyai pilihan untuk mendapatkan khidmat nasihat dari pembantunya terlebih dahulu untuk sebarang keputusan.

Kad merah itu nyata memberikan kesan kepada pasukan dengan jolokan ‘The Braves’ apabila tewas perlawanan tersebut dengan jaringan 3-0.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.