Pemain Arsenal Masuk Ke Padang Diiringi Lagu ‘You $uck’ Milik Kurt Angle

Pemain Arsenal berjalan masuk ke padang untuk aksi babak kedua permainan dengan diiringi oleh lagu tema Kurt Angle di WWE yang kebiasaannya akan disambut dengan chanting ‘You $uck’.

Arsenal melayan kunjungan Crystal Palace untuk aksi perlawanan saingan premier league awal pagi tadi, yang mana perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

The Gunners sememangnya terkenal dengan sering memainkan lagu tema ahli gusti di Emirates Stadium untuk memberi aura dan semangat kepada semua orang.

Sebelum ini mereka pernah memasang lagu tema milik Triple H ketika mengiringi para pemain untuk masuk ke padang selepas rehat babak pertama permainan.

Namun pada kali ini, selepas aksi persembahan tidak menentu yang dipamerkan oleh anak-anak buah Mikel Arteta, mereka memilih lagu tema milik Kurt Angle.

Apa yang pasti, bagi peminat WWE, apabila terdengar lagu tema Kurt Angle, mereka pastinya akan menyahut muzik tersebut dengan sorakan ‘You $uck’.

Sorakan tersebut cukup sinonim dengan Kurt Angle tidak kira ketika peminat memaki atau memuji, dan ia diguna pakai sehingga ke hari ini walau beliau sudah bersara.

Walaupun skuad kendalian Mikel Arteta itu cuba untuk bangkit dengan memenangi tiga perlawanan sebelum ini, namun dengan keputusan seri yang dicatatkan awal pagi tadi, mereka masih berada di kedudukan pertengahan carta liga.

Video berkait lagu tema Kurt Angle yang dipasang ketika mengiringi pemain masuk dalam perlawanan itu menjadi tular di media sosial dan peminat mengaitkan lagu itu ada kaitan dengan persembahan buruk Arsenal.

Seandainya perlawanan pada malam ini dilangsungkan dengan adanya penonton, ada kemungkinan mereka akan bersorak ‘You $uck’ ketika mendengar lagu tema Kurt Angle dipasang.

Julai tahun lalu, ketika mereka memasang lagu tema Triple H, semangat dan aura itu sampai ke para pemain dan memperlihatkan mereka menewaskan Liverpool 2-1.

Adakah lagu tema Kurt Angle sememangnya ditujukan kepada aksi persembahan buruk skuad Arsenal sekarang?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.