Peluang Terakhir Trio Bernilai RM2 Billion Buktikan Kemampuan Bersama Barcelona

Trio pemain ini menyebabkan Barcelona berbelanja €400 juta atau bersamaan dengan RM2 Billion! Lebih separuh dari pelaburan tersebut didatangkan dari hasil penjualan rekod dunia €222 juta Neymar kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Namun demikian prestasi Ousmane Dembele, Philippe Coutinho dan Antoine Griezmann dilihat serba tidak konsisten sejak menyarung jersi gergasi Catalan itu.

Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu pula dipersalahkan dan pembelian ketiga-tiga pemain dianggap tidak bijak. Ini sekaligus memberikan tekanan kepada Bartomeu.

Tatkala pemilihan presiden akan berlangsung pada Mac hadapan, musim ini dilihat sebagai musim terakhir bagi ketiga-tiga pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing bersama Barca.

Apakah masalah mereka setelah sah bergelar pemain Barcelona. Ayuh kita lihat satu persatu.

Ousmane Dembele

Dembele tiba di Nou Camp pada musim panas 2017, dan Barcelona terpaksa menbayar €105 juta kepada Borussia Dortmund untuk pemain ini.

Namun karier Dembele di kelab Catalan ini tidak selancar yang dikehendaki dengan pelbagai isu peribadi menjadikan tempoh tiga tahun ini begitu kompleks untuk disimpulkan.

Kecederaan sering kali membayangi pemain sayao ini. Kini Dembele cuba meyakinkan Ronald Koeman bahawa dirinya mampu menyumbang kepada saingan pada musim ini.

Kehadiran Ansu Fati kini dilihat sebagai ancaman kepada Dembele untuk ditunjukkan pintu keluar dari Nou Camp.

Philippe Coutinho

Perjanjian sulit diantara Barca dan Liverpool bermakna angka sebenar untuk perpindahan Coutinho tidak pernah didedahkan. Namun ia dipercayai sekitar €160 juta.

Pemain perancang itu berpindah ke Nou Camp pada Januari 2018, dan selepas permulaan yang baik, prestasi Coutinho merudum sehingga mengundang kritikan penyokong.

Coutinho kemudiannya dipinjamkan ke Bayern Munich dengan harapan untuk menjual pemain itu kembali ke Premier League selepas itu. Namun penularan wabak jelas telah merencatkan perancangan tersebut.

Turut menjaringkan dua gol ketika membantu Bayern menewaskan Barca 8-2 di pertandingan Champions League, Koeman dilihat mahu mengekalkan pemain berusia 28 tahun ini di Nou Camp untuk musim 2020/21.

Jelas sekali Coutinho perlu membuktikan nilai dirinya secepat mungkin.

Antoine Griezmann

Antoine Griezmann adalah satu lagi nama besar yang gagal menyerlah selepas berhijrah menyertai Barcelona.

Musim pertamanya di Nou Camp dianggap gagal selepas menyertai Barca dari Atletico Madrid dengan nilai €120 juta.

Walaupun dilihat memiliki sikap sanggup bekerja keras, Griezmann jelas sekali tidak gembira di Nou Camp setelah sering kali diarahkan beraksi di possisi berlainan dari posisi asal.

Koeman menyuarakan perlunya Griezmann untuk kembali ke posisi asal pada musim ini, dan ia dianggap sebagai peluang terbaik pemain antarabangsa Perancis ini mengulangi prestasi lamanya seperti ketika bersama Atletico Madrid.

Penutup

Berbanding dengan beberapa pemain lain seperti Arturo Vidal, Luis Suarez dan Ivan Rakitic, ketiga-tiga pemain di atas dianggap bertuah kerana masih diberikan kepercayaan oleh Ronald Koeman.

Kini terpulang kepada mereka bagaimana untuk membantu gergasi Catalan itu bangkit sekali gus memperbaiki reputasi masing-masing.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.