Paul Pogba Bantu Manchester United Singkirkan Liverpool Dari Puncak Saingan Liga

Paul Pogba telah membantu Manchester United untuk berada di puncak saingan premier league selepas menjaringkan gol yang cukup cantik pada babak kedua perlawanan bertemu Burnley awal pagi tadi.

Setan merah berkunjung ke Turf Moore dalam saingan premier league dengan kutipan mata yang sama dengan Juara bertahan, Liverpool.

Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire pada awalnya menjangkakan beliau sudah berjaya menjaringkan gol pembukaan untuk United, selepas bola tandukan beliau masuk menerjah jaring gawang gol Burnley.

Sayangnya gol jaringan beliau telah dibatalkan oleh VAR kerana mendakwa beliau telah memanjat pemain Burnley untuk menanduk bola tersebut.

Walau bagaimanapun, United akhirnya berjaya juga memperoleh jaringan yang mereka cari pada babak kedua permainan menerusi Paul Pogba.

Bruno Fernandes memulakan gerakan awal dengan melorongkan bola kepada Marcus Rashford yang berada di sudut sebelah kanan padang, sebelum penyerang United itu menghantar bola mencari Paul Pogba.

Pogba yang menerima bola umpanan Rashford itu terus saja melepaskan first-time volley yang sungguh padu untuk merobek gawang gol Nick Pope.

Kemenangan 1-0 United menewaskan Burnley membawa skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk berada di puncak saingan liga dengan mengumpul 36 mata, tiga mata mengatasi saingan terdekat Liverpool.

Liverpool boleh kembali merampas kedudukan sebagai pendahulu saingan liga seandainya mereka berjaya menewaskan United di Anfield hujung minggu nanti.

Legenda The Reds, John Aldridge telah memberi amaran kepada anak-anak buah Jurgen Klopp bahawa United sudah menghidu kelemahan mereka dan pasti akan cuba bermain bola lambung untuk menewaskan mereka.

“Mereka berbahaya ketika melakukan serangan balas dengan kelajuan jentera serangan mereka, tapi saya tak fikir peminat akan menikmati itu.”

Tulis beliau di portal Liverpool Echo.

“Saya rasa perlawanan itu akan berlangsung dengan permainan terbuka dan mereka boleh hidu kelemahan kita dengan cuba bermain hantaran jauh di bahagian antara Rhys Williams atau Nat Phillips dan Trent Alexander Arnold.”

“Itu lah apa yang pasukan lakukan, mereka akan menghuru-harakan bahagian itu kerana full-back kita selalu naik ke atas dan mereka akan manfaatkan perkara itu, jadi kita akan berdepan dengan kesukaran.”

“Bahagian kiri kita tidak terlalu teruk kerana adanya Fabinho yang boleh mengawal pemain muda di bahagian itu. Seperti yang sering mereka lakukan mereka bermain dengan baik, ia sangat sukar.”

“Pasukan mempunyai banyak kualiti dan pemain yang boleh meletakkan bola disudut yang sukar dengan pemain lain mengejar mereka. Hal itu pemain seperti Rashford pasti akan lakukan.”

“Jadi kita kena selalu berhati-hati dengan serangan balas dari mereka untuk memastikan kita menang perlawanan itu dan kembali ke puncak liga.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.