Pasang Kamera Di Bilik Persalinan Jika EPL Diteruskan Di Stadium Kosong

Pihak Premier League dicadangkan untuk memasang kamera di bilik persalinan pemain jika saingan Premier League dimulakan kembali.

Cadangan tersebut dilontarkan oleh pemain tengah Southampton, Oriol Romeu bertujuan merapatkan penyokong dengan aksi sekiranya perlawanan diteruskan tanpa penyokong di stadium.

Premier League memberi indikasi saingan akan bersambung kembali pada Jun, dan semua perlawanan akan dimulakan dihabiskan dalam tempoh enam minggu.

Namun tiada penyokong dibenarkan hadir ke stadium untuk menontot mana-mana perlawanan.

Disebabkan itu Romeu berpendapat dengan membenarkan kamera berada di bilik persalinan akan memberi liputan yang lebih menarik untuk mereka yang menonton dari rumah.

“Kebajikan setiap orang harus menjadi keutamaan, tetapi saya juga mahukan Premier League disambung,” kata beliau kepada Mirror.

“Secara tiba-tiba ia [Premier League] dihentikan, dan ianya lebih adil jika ia boleh dihabiskan. Tetapi saya juga sedar 40,000 penyokong tidak akan dapat memasuki stadium.

“Tanpa penyokong sudah tentu atmosfera itu tidak wujud. Tanpa atmosfera, maka tiadalah emosi ketika menonton perlawanan.

“Mungkin untuk menggantikan perkara ini, kamera di dalam bilik persalinan pemain boleh diperkenalkan untuk membuatkan semua orang rasa lebih dekat.”

Idea Romeu itu dilihat amat menarik untuk diaplikasikan.

Bayangkan Jose Mourinho memarahi pemain Tottenham ketika mereka ketinggalan 1-0 kepada Everton.

Atau bagaimana Klopp cuba membangkitkan semangat pemain di Anfield untuk menamatkan kemarau selama 30 tahun.

Ia pasti menjadi tontonan yang menarik dan eksklusif untuk semua penyokong.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.