Pandangan Jujur Suarez Berkait Keputusan Aguero Sertai Barcelona Mencuri Tumpuan Peminat

Luiz Suarez telah memberi pandangan jujurnya berkait perpindahan Sergio Aguero menyertai Barcelona pada musim panas ini.

Beliau dengan lapang dada telah bersetuju dan menyokong penuh keputusan Aguero untuk menyertai Barcelona.

Bintang kebangsaan Argentina itu akan meninggalkan Manchester City pada musim panas ini selepas 10 tahun menabur bakti untuk gergasi premier league itu.

Aguero juga berjaya menjaringkan dua gol walau dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi terakhir perlawanan premier league bertemu Everton kemarin.

Ia merupakan perlawanan terakhir beliau untuk City di Etihad dengan disaksikan oleh 10,000 peminat The Citizens yang kelihatan sungguh beremosi untuk mengucapkan selamat jalan kepada legenda terhebat sepanjang zaman kelab itu.

Walaupun Aguero sendiri masih tidak jelas dengan masa depan beliau selepas ini, namun pengurus kelab, Pep Guardiola telah memberi gambaran bahawa penyerang handalannya itu bakal kembali ke saingan La Liga dan menyertai Barcelona.

“Mungkin saya boleh dedahkan satu rahsia. Dia sepertinya sedang melengkapkan rundingan untuk menyertai kelab yang ada dalam hati saya, dia akan sertai Barcelona.”

Jelas Guardiola kepada Gary Lineker di BBC Match of the day.

“Dia akan pergi bermain bersama pemain terhebat sepanjang zaman, Messi.”

Bintang berusia 32 tahun itu sepertinya akan menyertai Barcelona sebagai pengganti kepada Luis Suarez yang dijual oleh Barca pada musim panas lalu.

Bekas penyerang Liverpool itu berjaya menjaringkan gol ketika aksi terakhir saingan La Liga, seterusnya membantu Atletico muncul Juara.

Suarez cemerlang membuktikan kemampuan sebenarnya dengan menjaringkan 21 gol untuk Atletico dalam aksi saingan La Liga musim ini.

Walaupun beliau tidak gembira dengan cara bagaimana Barca membuangnya sebelum ini, namun Suarez telah meluahkan bahawa beliau menyokong penuh keputusan Aguero untuk menandatangani perjanjian bersama Barcelona.

Bercakap dalam satu temu bual khas bersama El Partidazo de COPE, Suarez telah menyatakan bahawa:

“Sekarang mereka sudah ada lembaga pengarah yang baru, orang yang berbeza, dan mereka sepertinya sedang mencari pemain yang berkualiti.”

“Jelas sekali dia ada hubungan yang baik dengan Leo, tapi kamu tak boleh pertikaikan tentang kualiti hebat yang dia miliki dan apa yang boleh dia sumbangkan kepada Barcelona. Saya menyokong penuh keputusan dia.”

Aguero akan beraksi semula bersama sahabat dan rakan senegaranya, Messi. Namun ia tidak boleh diperkatakan sebelum pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu menandatangani perjanjian baru bersama kelab.

Messi sehingga kini masih belum mengumumkan keputusannya secara rasmi, dengan terdapat begitu banyak spekulasi yang membincangkan soal masa depannya ketika ini.

Suarez walau bagaimanapun telah mencadangkan kepada bekas rakan sepasukannya itu supaya kekal bersama Barcelona dengan menyatakan:

“Sebagai kawan dan peminat saya akan gembira, saya akan sukakannya, dan saya akan mencadangkan kepada dia supaya kekal bersama Barcelona.”

Jelas pemain kebangsaan Uruguay itu.

“Adakah dia sudah beritahu saya yang dia akan kekal? Jawapannya masih belum.”

Dalam temu bual sama, Suarez telah mengkritik pengurus Barca, Ronald Koeman sebagai seorang pengurus yang tiada personaliti.

Beliau juga telah melemparkan pelbagai kritikan pedas menghentam beberapa orang ahli lembaga pengarah kelab yang membuang beliau dari Barca sebelum ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.