Dengan nada agak kecewa Setiausaha Agung FAM membuat pengumuman rasmi di laman rasmi FAM sebentar tadi. Dukacita dimaklumkan pihak FAM tidak mendapat respon daripada Pahang untuk slot Piala AFC.
Bagaimana Ia Bermula
Slot ini sepatutnya menjadi milik pasukan Kedah yang menamatkan musim dengan status juara Piala FA 2017. Namun masalahnya, pasukan Kedah tidak memiliki lesen Piala AFC kerana ada masalah dengan audit.
Kedah telah diberikan beberapa peluang untuk menyelesaikan beberapa dokumen yang gagal menepati piawaian. Pihak AFC berpuas hati dengan cara FAM-FMLLP menyemak dokumen kerana ia berdasarkan standard diletakkan AFC.
Selepas Kedah gagal mengemukakan laporan audit yang memuaskan selepas tamat musim 2017, pihak FAM-FMLLP akhirnya mencapai persetujuan untuk memberikan slot Piala AFC kepada pasukan Pahang.
Pahang adalah naib juara Piala FA 2017 dan mereka memiliki lesen Piala AFC. Namun selepas menerima tawaran FAM, pasukan Pahang menolak pelawaan itu atas alasan mahu fokus kepada kejohanan domestik sahaja.
Presiden FAM dalam sidang media dengan wartawan sukan sebelum ini kecewa dengan sikap Pahang dan menganggap Pahang tidak ada rasa tanggungjawab mahu membantu menaikkan ranking MA Malaysia.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail juga mencadangkan agar Pahang menurunkan pasukan belia ataupu Piala Presiden mereka jika mereka benar-benar mahu fokus kepada kejohanan domestik sahaja.
Datuk Windsor Paul mewakili AFC memberitahu, Pahang tidak melanggar peraturan AFC tetapi agak sayang kerana slot itu dilepaskan begitu sahaja. Tiada peruntukan di dalam AFC yang boleh menghukum pasukan Pahang.
Pahang Tetap Tak Mahu
FAM-FMLLP memberikan peluang kepada Pahang untuk mempertimbangkan keputusan mereka sehingga 30 November 2017. Ini kerana FAM-FMLLP tetap mahu melihat slot kedua Piala AFC 2018 itu diisi.
Namun begitu, Pahang masih belum memberikan respon ke atas surat yang dihantar oleh FAM setelah beberapa kali dimitan untuk mempertimbangkan untuk menyertai Piala AFC. Dan sebentar tadi, Setiusaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin menjelaskan:
“Pasukan naib juara Liga Super 2017, Pahang dengan ini secara rasminya tidak akan mewakili Malaysia untuk pertandingan Piala AFC 2018.”
“Ini kerana sehingga tarikh tutup yang ditetapkan iaitu pada 30 November 2017, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menerima surat balasan atau sebarang maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menyertainya.”
“Mengikut peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kekosongan slot ditinggalkan Pahang itu tidak boleh diisi oleh mana-mana pasukan lain.”
“Oleh yang demikian, juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi wakil tunggal Malaysia dengan mereka akan beraksi perlawanan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2018.”
Jika JDT Ke Liga Juara-Juara AFC
Dato Hamidin juga menyatakan Selangor kini dalam senarai menunggu untuk menggantikan JDT, sekiranya pasukan Harimau Selatan tersebut berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC 2018.
“Jika JDT gagal melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan, mereka akan secara automatik mendapat slot beraksi pada Piala AFC 2018.”
“Bagaimanapun, andai JDT berjaya melangkah masuk ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2018, slot Piala AFC 2018 berkenaan akan diberikan kepada pasukan Selangor yang kini diletakkan dalam senarai menunggu.
“Untuk makluman semua, majlis undian Liga Juara-Juara AFC 2018 dan Piala AFC 2018 akan berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada Rabu ini, 6 Disember 2017.”
Jadi, secara rasminya, Pahang tidak berminat untuk menyertai Piala AFC 2018. Dan tinggal JDT sahaja yang akan menyertai kejohanan yang mereka juarai pada 2015.
Seterusnya, FAM pastinya berharap Selangor akan bersedia untuk ke Piala AFC jika JDT berjaya ke Liga Juara-Juara AFC 2018.