Ole Yakin Man United Tak Akan Tunggu 30 Tahun Untuk EPL Seterusnya

Ole Gunnar Solskjaer menyatakan beliau yakin Manchester United tidak akan menunggu sehingga 30 tahun untuk satu lagi EPL.

Ianya seakan-akan menyindir musuh tradisi mereka, Liverpool yang ketika ini memasuki tahun ke-29 menanti kejuaraan Liga Perdana Inggeris mereka.

Kali terakhir Liverpool menjuarai liga adalah pada 1990. Dan itu merupakan kejuaraan ke-18 Liverpool. United kemudian menambah koleksi 13 kejuaraan EPL di bawah Sir Alex Ferguson dan menjadikan mereka kini memiliki 20 kejuaraan Inggeris.

Namun selepas era Fergie, Man United bergelut dengan prestasi termasuk pada musim ini.

“Saya yakin, kami akan bangkit dan menang semula EPL. Dan saya sangat yakin penantian kami tidak akan sampai 30 tahun untuk memenangi EPL yang seterusnya.”

Man United akan melayan kunjungan Liverpool pada hari ini. Pasukan mereka 15 mata di belakang skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Liverpool menjuarai UCL dan Piala Super Eropah pada 2018/19. Dan menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim lalu.

Solskjaer juga berharap perlawanan menentang Liverpool akan menjadi pengubah nasib mereka musim ini, selepas permulaan yang hambar.

Ole juga menganggap keputusan yang positif ke atas Liverpool akan membolehkan mereka meningkatkan lagi keyakinan para pemain.

“Persembahan yang bagus serta kemenangan akan mampu membantu kami memperbaiki keadaan. Ia boleh mengubah keyakinan para pemain.”

“Mungkin ramai pemain kami rasa kurang keyakinan diri bahawa mereka pemain yang sangat bagus, pada ketika ini.”

“Dengan kurangnya keyakinan, anda akan sentiasa teragak-agak dalam tindakan berbanding dengan bertindak berdasarkan naluri.”

Ole memberikan jaminan bahawa para pemain beliau yang ada sangat berbakat dan beliau sudah lama tahu akan perkara itu.

“Namun saya sudah lama tahu para pemain saya sangat bagus, tidak perlu risau tentang itu.”

Solskjaer juga menepis dakwaan bahawa Man United hari ini tiada pemimpin seperti Roy Keane.

“Hari ini bola sepak berubah dan cara kempimpinan di atas padang pun berbeza. Kami ada ramai pemain berpengalaman dan berkarakter pemimpin seperti David (De Gea), Paul (Pogba), Harry (Maguire), Victor (Lindelof).”

“Mereka semua pemimpin dengan cara mereka tersendiri dan berbeza dengan Roy Keane dan Bryan Robson.”

United kini berada di tangga ke-14 liga. Mereka mahu memperbaiki kedudukan pada carta liga.

Sebelum ini Solskjaer menganggap aksi menentang Liverpool sebagai perlawanan sempurna untuk mereka bangkit selepas kekalahan di tangan Newcastle United dalam aksi terakhir mereka.

Ole sebelum ini menegaskan beliau sudah menemui formula untuk mengembalikan Man United ke landasan yang tepat dalam kancah bola sepak Eropah.

Beliau menegaskan United harus mengubah cara bermain agar menjadi lebih berani.

Dalam perkembangan yang lain, Man United bergelut dengan kecergasan pemain. Ole berharap beberapa pemain mereka akan dapat cergas untuk aksi menentang Liverpool.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.