Ole Menamakan Ketua Pasukan Baru United Bagi Menggantikan Maguire

Bruno Fernandes telah dinamakan sebagai ketua pasukan untuk Manchester United menggantikan Harry Maguire yang tidak dapat beraksi dalam perlawanan seterusnya untuk skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Perlawanan pembukaan kumpulan H untuk saingan liga Juara-juara musim ini bakal menemukan setan merah dengan finalis musim lalu, Paris Saint Germain.

Harry Maguire yang berjaya menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 United menewaskan Newcastle kemarin dilaporkan mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan dalam kunjungan setan merah ke Paris.

Ketika dalam satu sidang media di Paris pada petang semalam, Solskjaer telah mengesahkan bahawa Fernandes akan dilantik untuk menjadi ketua pasukan menggantikan Maguire yang tidak dapat turun beraksi.

Keputusan itu memberi gambaran jelas bahawa bintang Portugal itu sememangnya memiliki ciri-ciri kepimpinan yang sangat tinggi.

Beliau mempunyai kualiti yang sempurna untuk menjadi ketua pasukan dan sikap panas barannya benar-benar berguna untuk memimpin bintang United yang lain.

Bruno Fernandes baru sahaja menyertai United pada Januari lalu dan beliau telah berjaya membuktikan kehebatannya dengan membantu United untuk mara ke saingan liga Juara-juara musim ini.

Beliau juga telah berjaya untuk memenangi anugera Sir Matt Busby Player Of The Year.

“Kami berharap Harry akan kembali pulih dalam perlawanan pada hujung minggu bertemu Chelsea, tetapi ianya masih belum pasti.”

Jelas Solskjaer kepada wartawan di Paris.

“Ketua pasukan terkini ada duduk di sebelah saya. Bruno akan menjadi ketua pasukan United untuk perlawanan esok.”

Mungkin ianya adalah berita yang cukup menggembirakan untuk pemain United yang memakai jersi bernombor 18 itu.

“Saya tidak menjangkakan ini”

Bruno memulakan pengakuannya tentang rasa tidak percayanya beliau telah dilantik sebagai ketua pasukan sementara.

“Saya juga tahu diwaktu yang sama seperti kamu semua. Sudah tentu, untuk saya, ianya satu penghargaan apabila saya dilantik sebagai ketua pasukan untuk semua rakan sepasukan saya dan menjadi ketua pasukan Manchester United adalah yang terpenting untuk saya.”

“Saya rasa semua orang adalah ketua pasukan dan semua orang saling memerlukan. Semua orang juga perlu untuk menjadi ketua. Kepimpinan untuk setiap pemain itu berbeza. Esok tentunya bukan kerana saya, ianya tentang pasukan.”

“Memimpin pasukan setiap hari di padang latihan, setiap sesi latihan, setiap perlawanan, dan saya fikir semua orang menjalankan tugas masing-masing dengan cara tersendiri yang mereka rasakan terbaik.”

United kehilangan beberapa pemain dalam pertembungan menentang Paris Saint Germain nanti dengan Eric Bailly, Jesse Lingard, Mason Greenwood, Harry Maguire, dan penandatanganan baru Edinson Cavani tidak ikut dalam penerbangan ke Paris.

Walau bagaimanapun, Fernandes pastinya akan berusaha sehabis mampu untuk mengetuai United mendapatkan rentak permulaan yang baik dalam saingan liga Juara-juara musim ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.