Ole Bimbang Maguire Tak Dapat Diturunkan Ketika Aksi Perlawanan Akhir Europa League

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer telah mendakwa bahawa Harry Maguire mungkin tidak sempat cergas sepenuhnya menjelang aksi perlawanan akhir Europa League nanti.

Ketua pasukan Manchester United itu mengalami kecederaan di bahagian ligamen ketika aksi bertemu Aston Villa awal bulan lalu dan turut diketepikan dari aksi tiga perlawanan terakhir setan merah.

Walau diketepikan dari skuad, Maguire tetap turun ke stadium dengan bertongkat demi untuk memberi sokongan kepada rakan sepasukannya yang lain.

Namun begitu, ketika beliau menghadiri acara tayangan perdana siri dokumentari Sir Alex Ferguson, Maguire sudah tidak menggunakan tongkat lagi.

Walau bagaimanapun, Solskjaer telah mendedahkan tentang peluang Maguire untuk diturunkan ketika aksi bertemu Villarreal nanti adalah sangat tipis, dengan beliau menyatakan:

“Dia sudah boleh berjalan, tapi jujurnya, ia mengambil masa yang cukup panjang dari berjalan untuk berlari.”

Jelas Solskjaer dalam satu sidang media.

“Saya tak rasa kita akan lihat dia di Gdansk, tidak. Tapi saya akan berikan dia masa sehingga malam selasa nanti, itu adalah sesi latihan terakhir, saya akan lihat sama ada dia boleh bermain atau tidak. Dia nampak semakin membaik. Tapi masalah kecederaan ligamen memang ambil masa untuk sembuh.”

“Dia seorang pemain yang sangat penting dalam bilik persalinan dan dia seorang ketua. Sebelum penyokong datang, semua orang boleh dengar suara dia dari tempat penonton, dia walau tak bermain dia masih mahukan skuad bermain dengan baik, waktu itu dia boleh jerit, sebab suasana sunyi.”

“Dia akan datang, dia akan ada di bilik persalinan, dia sentiasa memastikan semua orang bersedia untuk perlawanan akhir.”

United sudah mengesahkan kedudukan kedua dalam carta liga musim ini, namun mereka sedikit terumbang ambing dalam beberapa perlawanan terakhir ini.

Setan merah belum pernah mencatatkan sebarang kemenangan sejak Maguire diketepikan dengan barisan pertahanan mereka juga tak tentu arah.

Solskjaer turut ditanya tentang kebarang kalian pemain yang akan ditandatangani pada jendela perpindahan musim panas ini dengan beliau menyatakan:

“Kami sudah merancang seperti mana sering kami lakukan.”

“Ia bukan seperti penghujung musim, dan mari lihat apa kami lakukan, itu merupakan proses yang sedang berjalan, melihat kepada skuad, pemain mana akan kekal, pemain mana akan pergi.”

“Dan seperti saya katakan beberapa kali sebelum ini, saya harap kami mampu memperkuat skuad sedia ada dengan tambahan dua ke tiga pemain, kami memang perlu berubah, kami perlu perbaiki kedudukan dalam liga. Kami masih jauh ketinggalan untuk berharap semuanya akan kembali baik tanpa berusaha.”

“Kita ada beberapa pemain yang sedang dipinjamkan dan mereka mungkin akan kembali, kami juga ada berminat dan sedang memantau beberapa pemain. Mungkin ada pemain masuk dan ada yang keluar.”

“Kami akan hantar pemain keluar, dipinjamkan ke pasukan lain untuk cari pengalaman, supaya mereka akan kembali dengan lebih baik.

“Selain dari itu, sukar untuk saya katakan. Saya tak nampak lagi perubahan yang lebih ketara dari itu.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.