Ole Anggap Pemain Muda Chelsea Cemerlang Sebab Sistem Loan, Lampard Tak Setuju

Frank Lampard tidak bersetuju dengan pandangan Ole Gunnar Solskjaer berkaitan dengan kualiti pemain muda Chelsea.

Dalam sidang media sebelum aksi Chelsea vs Manchester United, Ole telah memuji kualiti pemain-pemain muda Chelsea yang menjadi perbezaan di antara kedua dua pasukan ketika ini.

Ole berpendapat, aksi cemerlang para pemain muda Chelsea kerana mereka sebelum ini dipinjamkan ke kelab Championship. Misalnya Tammy Abraham yang sebelum ini dipinjamkan ke Swansea City, Aston Villa dan Bristol City.

Sementara pemain seperti Mason Mount dan Fikayo Tomori dipinjamkan ke Derby County musim lalu, yang diuruskan oleh Frank Lampard.

Tammy Abraham kini menjadi penggempur yang bersaing dengan penyerang handalan lain untuk carta penjaring terbanyak.

Ole menyatakan Chelsea memiliki barisan pemain muda yang sangat bagus kerana sistem pinjaman seperti itu. Ia berbeza dengan Man United di mana para pemain muda mereka terus terjun ke dunia kompetitf di kelab besar.

Tetapi Lampard menegaskan, Man United turut mempunyai pemain muda berbakat besar. Misalnya Rashford yang masih muda dan sudah menjadi penyerang utama England.

Mereka juga meminjamkan pemain Championship dan juga membawa masuk pemain muda yang bagus ke dalam pasukan.

Daniel James sudah memiliki banyak pengalaman.  Axel Tuanzebe turut dipinjamkan ke Aston Villa musim lalu.

Bagi Lampard, isu meminjamkan pemain keluar bukan satu-satunya sebab utama kenapa para pemain muda Chelsea cemerlang.

Tetapi ia lebih kepada kerjasama di antara pemain dan pengurus.

Ole menegaskan: “Chelsea pasukan yang paling mengujakan. Frank ada pemain-pemain muda yang pernah dipinjamkan ke Championship. Berbeza dengan para pemain saya yang terus melangkah ke dalam kancah persaingan.”

Lampard membalas: “Saya tidak tahu apa yang dikatakan beliau (Ole). Rujuk kes demi kes, Rashford masih muda dan berapa banyak caps kebangsaan dia ada?”

“Tuanzebe pun dipinjamkan ke Championship musim lalu dan beliau bermain sangat baik di sana.”

“Daniel James dibawa masuk. Dan beliau merupakan  ‘signing’ yang luar biasa mereka lakukan.”

“Saya rasa, kita semua ada pemain yang berpengalaman dan yang tidak berpengalaman.”

“Man United ada ramai pemain muda yang sangat bagus. Dari segi sistem pinjaman pemain ke luar, mungkin ada sedikit kredit di situ.”

“Oleh sebab itu, pastikan anda meminjam pemain ke kelab yang betul. Saya bernasib baik dapat meminjam Mason Mount dan Fikayo musim lalu. Mereka melakukan tugas dengan baik untuk saya. Harap saya pun melakukan tugas dengan baik dalam membangunkan mereka.”

“Beginilah bagaimana sistem peminjaman pemain dilakukan dengan sebaiknya.”

Lampard menyatakan pasukan beliau yang ada hari ini berbeza dengan pasukan yang dibelasah Man United 4-0 pada hari pertama EPL.

Ini kerana para pemainnya lebih serasi bermain bersama.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.