Ole Akui Sempat Berfikir Untuk Keluarkan De Gea Sebelum Aksi Penentuan Sepakan Penalti

Ole Gunnar Solskjaer mengakui bahawa beliau sempat berfikir untuk menukarkan David De Gea dengan Dean Henderson sebelum kekalahan Manchester United dalam penentuan sepakan penalti bertemu Villarreal.

Solskjaer berdepan dengan kritikan yang teruk dari para peminat selepas De Gea melalui detik penentuan sepakan penalti yang agak mengecewakan.

Penjaga gol kebangsaan Sepanyol itu bolos kesemua 11 sepakan penalti dari pasukan Villarreal dalam perlawanan tersebut, dan beliau juga menjadi satu-satunya pemain dari 22 pemain lain yang gagal untuk menjaringkan gol.

Selain gagal untuk menjaringkan gol dan menyebabkan kekalahan United, para peminat jelas tidak gembira dengan persembahan De Gea yang langsung tidak mampu menyelamatkan sepakan penalti dari pasukan lawan.

Penjaga gol utama Manchester United itu telah gagal menyelamatkan 40 sepakan penalti sepanjang kariernya baik bersama kelab mahupun skuad kebangsaan Sepanyol.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan bahawa beliau memang sudah merancang untuk memasukkan Henderson, namun dalam masa yang sama turut meletakkan keyakinan pada De Gea.

Henderson setakat ini telah berjaya menyelamatkan lapan dari 19 sepakan penalti yang pernah dihadapi sepanjang kariernya.

Memandangkan kepada statistik dan kemampuan Henderson, ramai yang merasakan Ole sepatutnya membawa beliau masuk menggantikan De Gea ketika masa tambahan sudah hampir tamat.

Ole sebaliknya memilih untuk membawa masuk pemain yang beliau rasakan berpengalaman untuk mengambil sepakan penalti seperti Alex Telles dan Juan Mata.

Selain dua pertukaran terakhir itu, Ole menegaskan bahawa beliau sememangnya sudah mahu memasukkan Dean Henderson, namun beliau mengubah fikirannya pada saat akhir.

“Anda tentu pernah melalui pelbagai senario, sudah tentu, dan itu (membawa masuk Dean Henderson) sudah terlintas di fikiran saya ketika perlawanan sedang berlangsung, tapi kami yakin dengan David dan dia sudah bersedia.”

“Macam-macam boleh berlaku ketika penentuan sepakan penalti, jadi saya kekal dengan penjaga gol yang sudah bermain sepanjang perlawanan.”

Solskjaer kemudiannya menambah lagi:

“Saya perlu katakan yang penentuan sepakan penalti itu mempunyai kualiti yang tinggi, tapi kami tak melakukan dengan cukup baik sepanjang 120 minit permainan untuk menjaringkan gol dan itu yang paling mengecewakan.”

“Kita sudah menekan, kita ada beberapa detik yang mana kita rasa kalau kita rembat sedikit sudah tentu kita akan peroleh gol. Tapi kita gagal.”

Ramai juga peminat yang membandingkan situasi Ole dengan situasi bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal ketika aksi peringkat suku akhir Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Belanda.

Yang mana Van Gaal ketika itu memutuskan untuk memasukkan Tim Krul yang beliau rasakan mempunyai kelebihan dari segi menyelamatkan sepakan penalti pada minit-minit akhir aksi masa tambahan.

Walau bagaimanapun, Solskjaer difahamkan mahu menjaga air muka penjaga golnya dan beliau turut meletakkan sepenuh kepercayaan pada De Gea.

Hakikatnya, kali terakhir De Gea menyelamatkan sepakan penalti adalah pada tahun 2016 yang mana ketika itu beliau menyelamatkan sepakan dari Romelu Lukaku yang ketika itu masih beraksi bersama Everton.

Henderson sendiri sudah beberapa kali menyelamatkan sepakan penalti sepanjang tempoh tersebut termasuk sepakan dari Gabriel Jesus ketika kariernya bersama Sheffield United musim lalu.

Kualiti sepakan penalti para pemain Villarreal juga tidak boleh dinafikan dengan kesemua mereka sangat tenang menewaskan De Gea.

Beberapa kali juga para pemain Villarreal menunjukkan aksi luar biasa berani dan yakin dengan melepaskan rembatan padu di sudut yang sukar untuk diselamatkan oleh De Gea.

Tidak dinafikan yang United belum tentu boleh menang menentang Villarreal seandainya Dean Henderson berada di gawang gol ketika aksi penentuan sepakan penalti itu.

Namun tidak keterlaluan juga untuk mengatakan Dean mungkin tidak akan melepaskan kesemua 11 sepakan penalti yang diambil oleh Villarreal seperti yang dilakukan oleh De Gea.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.