Ole: 3 Perlawanan Terakhir, Sepatutnya Kami Yang Menang

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer jelas kecewa dengan kegagalan pasukannya membawa pulang 3 mata dari St Mary. Menurut beliau, pasukannya patut menang dalam perlawanan tersebut.

Dalam aksi menentang Southampton, Manchester United mendahului 1 gol pada separuh masa pertama.

Namun sekali lagi, aksi tidak menentu pada separuh masa kedua membuatkan mereka hilang mata dan sekadar seri 1-1 dengan Southampton yang beraksi dengan 10 orang pada selama 17 minit terakhir perlawanan.

Solskjaer memberikan pandangan beliau dengan menyatakan, mereka tumpul di hadapan gol. Itu adalah masalah utama United.

“Saya rasa kami patut membunuh perlawanan pada kedudukan 1-0. Kami mulai mencipta banyak peluang dan ruang untuk Mata. Daniel James banyak berlari memecah masuk pertahanan lawan. Kami menguasai perlawanan 20-25 minit,” jelas Solskjaer.

“Namun masalahnya, kami membenarkan lawan kami bangkit dan kami sendiri gagal mendapatkan gol ke-2.”

“Kami juga kerap cuai dan memberikan bola kepada lawan. Rasanya kita menuju ke landasan yang tepat dalam perlawanan ini. Kami mencipta peluang berhadapan pasukan tuan rumah yang menyukarkan anda dengan tekanan.”

“Walaupun kami melakukan beberapa kesilapan dalam padang, namun kami masih percayakan pemain kami untuk bermain cara kami. Cuma isu dia, kami gagal menyudahkan peluang gol.”

“Kami ada banyak peluang gol dan hanya penyudah itu yang kami hilang.”

“Ianya menjadi sangat sukar. Kami harus belajar untuk mencari gol ‘hodoh’, bukan sahaja nak melakukan gol cantik kelas dunia sahaja.”

“Kini, kami harus membangkitkan semula pasukan ini.”

“Apa yang bagus hari ini, kami tidak mudah melakukan hantaran panik dan bola lambung. Kami kekal bermain dengan cara kami, dan jujur saya katakan, kami harus menjaringkan gol.”

“Kami rasa sugul dan agak kecewa. 3 perlawanan terakhir kami hilang mata, di mana kami berhak menang kesemuanya.”

Selain itu, Solskjaer juga mengesahkan bahawa Paul Pogba mengalami kesakitan di pergelangan kakinya. Namun begitu, beliau berharap pemain itu akan dapat beraksi untuk Perancis.

Ia sekaligus menggambarkan bahawa kecederaan itu bukan kecederaan serius. Satu kelegaan buat Manchester United.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.