Nuno Espirito Santos Sah Bakal Meninggalkan Wolves Penghujung Musim Ini

Wolverhampton Wanderers telah mengesahkan bahawa pengurus Nuno Espirito Santos bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini, dengan berbaki satu perlawanan sahaja yang tinggal.

Bekas pengurus Porto yang mengambil alih Wolves pada tahun 2017 itu akan turun mengendalikan kelab buat kali terakhir bertemu Manchester United malam esok.

Ini merupakan pertama kalinya dalam tempoh 14 bulan para penonton akan dibenarkan masuk menonton perlawanan secara langsung di Molineux Stadium.

Kelebihan untuk masuk ke stadium itu akan digunakan oleh para penyokong Wolves untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pengurus yang telah banyak berjasa kepada kelab itu.

Antara kejayaan manis Nuno Espirito Santos bersama Wolves adalah ketika beliau berjaya membawa skuad mini Portugal itu untuk naik ke saingan premier league dari Championship.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman rasmi kelab, pengurus berusia 47 tahun itu menyatakan:

“Sejak hari pertama kami tiba di Compton, impian kami adalah untuk membawa perubahan yang positif dan membantu kelab ini untuk maju lebih jauh, dan saya sangat berbangga untuk katakan yang kami lakukan itu setiap hari. Kami capai matlamat kami, kami lakukan semua itu dengan semangat dan kami lakukan sama-sama.”

“Pertama sekali, saya mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong yang telah memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu kami mencapai tahap yang baru untuk Wolves, dan kepada semua penduduk di bandar ini yang mengalukan kedatangan kami dan membuatkan kami rasa ia seperti rumah kami.”

“Saya, sudah tentu mahu ucapkan terima kasih kepada semua staff kelab atas sokongan dan komitmen yang mereka tunjuk setiap hari.”

“Paling penting sekali, saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap pemain yang telah memberi kerjasama sejak dari hari pertama kita bertemu, atas kesetiaan, dedikasi, kerja keras dan bakat yang ditunjukkan. Mereka adalah orang yang menjadikan semua impian menjadi kenyataan.”

“Ahad ini bakal menjadi hari yang penuh emosi, tapi saya sangat gembira penyokong akan kembali ke Molineux dan kita boleh berkongsi hari terakhir itu bersama-sama sebagai satu keluarga.”

Musim ini merupakan musim yang sedikit suram untuk Wolves, terutama selepas penyerang utama mereka, Raul Jimenez terpaksa diketepikan sepanjang musim kerana mengalami kecederaan para ketika bertemu Arsenal pada November tahun lalu.

Wolves turut kehilangan Diogo Jota yang telah berhijrah menyertai Liverpool pada musim panas lalu, dan dengan ketiadaan dua jentera serangan utama, skuad kendalian Nuno Espirito dilihat sangat tumpul musim ini.

Bahkan seandainya mereka berjaya menewaskan setan merah dalam aksi perlawanan terakhir liga, hanya akan meletakkan mereka kekal di kedudukan ke-12 dalam carta liga.

Wolves mungkin akan mengakhiri musim ini di kedudukan ke-15 seandainya mereka tewas dan Crystal Palace, Southampton dan Newcastle peroleh kemenangan dalam perlawanan terakhir liga esok.

Pengurus dari Portugal itu berjaya membawa Wolves dari pasukan Championship menjadi salah sebuah pasukan underdog dalam saingan premier league.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.