Nilai Pasaran Luqman Hakim Melonjak Naik Selepas Penampilan Bersama KV Kortrijk

Nilai penyerang muda sensasi negara telah melonjak tiga kali ganda sejah berhijrah dari Selangor FC untuk menyertai KV Kortrijk di Jupiler Pro League, Belgium.

Pemain produk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu melakukan penampilan pertama buat skuad utama KV Kortrijk di saingan Jupiler Pro League dalam kekalahan 3-1 ke atas RSC Anderlecht pada awal pagi Sabtu lalu.

Menurut laman sesawang transfermart, Luqman bernilai €50,000 atau bersamaan dengan RM246,590 ketika diumumkan secara rasmi sebagai pemain KV Kortrijk.

Sejak daripada itu, Luqman telah meningkatkan nilai dirinya dengan beberapa aksi meyakinkan bersama skuad Bawah-21, dan beberapa perlawanan persahabatan kelab Belgium itu.

Dan selepas penampilan pertamanya semalam, nilai semasa Luqman kini mencecah €150,000, atau bersamaan dengan RM739,780. Peningkatan nilai oleh transfermart itu menunjukkan peningkatan tiga kali ganda sejak Luqman terbang ke Belgium dua bulan lalu.

Dalam perlawanan menentang RSC Anderlect kendalian bekas kapten dan pemain pertahanan Manchester City, Vincent Kompany, Luqman hanya beraksi selama 16 minit selepas dimasukkan oleh pengendali pasukan, Yves Vanderhaeghe pada minit ke-74 perlawanan.

Pada ketika itu, KV Kortrijk sudah pun ketinggalan 3-0 setelah Anderlecht selesa mendahului melalui dua jaringan Lukas Nmecha dan satu gol oleh Percy Tau.

Masuk untuk menggantikan pemain pertahanan, Petar Golubovic dalam perubahan taktikal oleh KV Kortrijk untuk memburu gol, kehadiran Luqman berjaya menghadirkan impak yang dikendaki walaupun pasukannya tidak menang dalam perlawanan ini.

Kemasukan Luqman Hakim telah membantu KV Kortrijk memperolehi gol saguhati pada minit ke-87 melalui sepakan penalti Ilombe Mboyo.

Dan gol tersebut dihasilkan hasil larian Luqman dari posisi sayap kanan sebelum melakukan satu cut back pendek kepada ke dalam kawasan penalti lawan.

Pemain Anderlecht Francis Amuzu dipersalahkan oleh pengadil kerana melakukan kekasaran terhadap Julien de Sart yang cuba menyambar umpanan Luqman dalam kotak penalti.

Secara keseluruhan Luqman telah melakukan permulaan yang dianggap sangat positif. Namun ada beberapa perkara perlu diberikan penekanan oleh beliau selain daripada keyakinan.

Antaranya ialah untuk membentuk otot yang kuat sesuai dengan bola sepak di Eropah yang lebih fizikal, dan juga sudah tentu menuntut stamina yang tinggi.

Jika fizikal dan stamina ini mampu ditambah baik, kami yakin Luqman tidak ada masalah mencabar mana-mana pemain pertahanan di Eropah.

Manakala untuk keyakinan, ia harus dibina melalui perlawanan sebegini. Tahniah Luqman, jalan terus!

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.