Neymar Sedih Kerana Terpaksa Direhatkan Selama Satu Bulan Kerana Dibelenggu Masalah Kecederaan

Neymar meluahkan rasa sedih, sakit dan kecewa yang beliau rasakan melalui satu muat naik penuh emosi di laman media sosial miliknya, selepas terpaksa direhatkan selama satu bulan kerana kecederaan yang dialami.

Penyerang kebangsaan Brazil itu menderita kecederaan otot tahap dua di kaki kirinya selepas dikasari oleh Yago ketika aksi perlawanan antara PSG bertemu Caen dalam saingan Coupe de France kemarin.

Ia bermaksud pemain berusia 29 tahun itu bakal terlepas aksi pusingan 16 saingan liga Juara-juara bertemu Barcelona pada minggu hadapan.

Selain itu, beliau juga dijangka akan terlepas dalam beberapa aksi perlawanan dalam saingan Ligue 1 bertemu pasukan seperti Nice, Monaco, Dijon dan Bordeaux.

Neymar yang baru sahaja pulih dari kecederaan buku lali bulan lalu telah mendedahkan tentang kecederaan terbarunya di laman instagram miliknya.

Selepas diterjemahkan oleh media penerbitan Sepanyol, AS, bekas pemain Santos itu menulis tentang rasa sedih yang beliau rasakan ketika orang memanggil namanya dan dalam masa sama menahan kesakitan ketika berlakunya insiden tersebut.

“Saya sangat sedih, kesakitan yang teramat sangat.”

Tulis Neymar.

“Sekali lagi, saya perlu berhenti untuk melakukan apa yang paling saya sayang dalam kehidupan ini buat sementara waktu. Kadang kala, saya rasa tidak selesa kerana cara saya bermain, saya menggelecek dan akhirnya saya dikasari.”

“Saya tak tahu sama ada saya atau apa yang saya lakukan atas padang yang menjadi masalah. Tapi ia sangat menyedihkan saya.”

“Ia membuat saya sedih bila dengar pemain, jurulatih, pengulas atau sesiapa saya yang kata, ‘kamu patut perlu mengasari dia,” ‘dia selalu merebahkan badan,” ‘ dia budak kuat nangis”, ‘dia budak kecil”, ‘dia merosakkan segalanya”, dan macam-macam lagi.”

“Ia benar-benar membuatkan saya sedih dan saya tidak tahu berapa lama lagi saya mampu bertahan untuk ini. Saya cuma mahu bergembira bermain bola sepak dan tidak lebih dari itu.”

Ia merupakan cabaran yang agak keras dari pertahanan Caen, Steeve Yago yang membuatkan Neymar terpaksa dikeluarkan ketika bermain untuk PSG kemarin.

Ia juga menyebabkan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino merasa bersalah kerana tidak memberi perlindungan yang secukupnya kepada Neymar.

Ketika ditanya tentang insiden tersebut dalam sesi temu bual selepas tamat perlawanan, pengurus Argentina itu mendedahkan:

“Saya tak mahu mengeluarkan dia selepas melihat bagaimana cara bermain pasukan lawan dan cara bagaimana Neymar bermain dengan gaya permainan dia.”

“Tapi saya cuma ada perasaan kadang kala memikirkan kenapa seperti tiada perlindungan yang diberikan ketika perlawanan berlangsung terutama dari pengadil. Tapi itu cuma perasaan.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.