Neymar Catat Hat-trick Lalu Memecahkan Rekod Milik Ronaldo Nazario

Neymar telah berjaya untuk mengatasi rekod milik legenda bola sepak dunia, Ronaldo Nazario dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil.

Beliau berjaya mengatasi pencapaian Ronaldo selepas berjaya mencatatkan hat-trick ketika dalam perlawanan menentang Peru semalam.

Ekoran dari aksi cemerlang yang beliau pamerkan ketika Brazil membenam Bolivia 5-0 kemarin, bintang Paris Saint Germain itu telah mencatatkan hat-trick dalam kemenangan 4-2 Brazil menewaskan Peru.

Beliau berjaya menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti yang beliau sendiri berjaya dapatkan dan menjaringkan satu gol padang yang cukup cantik untuk memastikan kemenangan Brazil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia itu.

Walaupun hat-trick tersebut dihasilkan melalui dua sepakan penalti, namun kejayaan Neymar menjadikan beliau berada di kedudukan kedua sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk negaranya.

Neymar telah menjaringkan 64 gol dari 103 penampilan untuk skuad kebangsaan Brazil selepas menjaringkan gol debutnya ketika berusia 18 tahun pada tahun 2010 yang lalu.

Bekas pemain Barcelona itu juga telah memberi penghormatan kepada Ronaldo Nazario dengan meniru keraian terkenalnya selepas menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Peru itu.

Bekas bintang handalan Inter Milan, Barcelona dan Real Madrid, Ronaldo Nazario atau lebih dikenali sebagai O Fenomeno telah beraksi sebanyak 98 perlawanan untuk Brazil sepanjang tempoh 17 tahun.

Selama tempoh itu, Ronaldo ‘R9’ telah berjaya untuk menjaringkan 62 gol dan memenangi dua kali gelaran Piala Dunia, dua kali gelaran Copa Amerika dan Confederations Cup.

Ketika baru berusia 28 tahun, Neymar kini hanya 14 gol sahaja dipisahkan dari bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Brazil mengatasi legenda, Pele.

Pemenang tiga kali Piala Dunia itu telah berjaya menjaringkan 77 gol dari 92 penampilannya bersama skuad kebangsaan Brazil.

Dalam perlawanan menentang Peru semalam, Neymar berjaya mencatatkan hat-trick dan satu lagi gol untuk Brazil berjaya dijaringkan oleh Richarlison.

Dua gol Peru pula telah berjaya dijaringkan oleh Andre Carrillo dan Renato Tapia. Peru di hujung perlawanan ini terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Carlos Zambrano dilayangkan kad merah.

Brazil cemerlang memenangi kedua-dua perlawanan dalam kelayakan Piala Dunia kali ini dengan menewaskan Bolivia dan Peru.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.