Netizen Tumpang Sedih, Frenkie De Jong Sugul Melihat Ajax Tersingkir

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Begitulah yang berlaku kepada pemain Barcelona, Frenkie De Jong yang sugul ketika melihat Ajax diumumkan tersingkir daripada UCL.

Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Barcelona menang 2-1 ke atas Inter Milan di San Siro. Mereka meraikan kejayaan tersebut selaku juara kumpulan.

Sementara itu, Inter Milan pula hanya mampu merenung nasib mereka tersingkir awal pada kali ini. Inter akan beraksi ke Liga Europa.

Paling mengecewakan pasukan Inter adalah, Barcelona tidak menurunkan pasukan terkuat mereka dalam aksi tersebut. Tetapi masih juga mereka gagal melepasi cabaran pasukan tersebut.

Namun tidak semua pemain Barca yang gembira sepenuhnya pada hari itu. Frenkie De Jong adalah berbeza. Ianya hari di mana beliau gembira dan berduka dalam satu masa yang sama.

Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, skrin pada stadium di dalam stadium memaparkan keputusan di venue yang lain. De Jong melihat bekas pasukannya, Ajax Amsterdam terkandas di pusingan awal dengan kekalahan pada hari terakhir.

Ketika pemain lain pergi memberikan tepukan penghargaan kepada hadirin di stadium, De Jong sugul.

Jaringan tunggal Rodrigo, sudah cukup memastikan Ajax tersingkir awal di hadapan penyokong mereka sendiri.

Musim lalu Ajax yang dibarisi ramai pemain muda berbakat telah mara ke separuh akhir UCL. Namun kehilangan beberapa pemain penting iaitu De Jong dan Matthijs De Ligt jelas sekali memberikan kesan kepada mereka.

De Jong yang awalnya mendongak ke arah skrin di dalam stadium dengan penuh harapan mahu melihat pasukan lamanya itu mara. Tetapi beliau hanya melihat perkhabaran berduka daripada Cruyf Arena.

Lalu De Jong menundukkan kepalanya tanda kecewa.

De Jong berkata kepada wartawan selepas tamat perlawanan: “Saya melihat ke arah skrin besar. Dan saya terus melihat kedudukan di Amsterdam masih kekal sama seperti tamat separuh masa pertama.”

“Ianya sangat mengecewakan apabila pasukan seperti Ajax tersingkir awal.”

Reaksi De Jong itu turut dirasai oleh ramai peminat yang faham akan perasaan pemain muda itu apabila melihat bekas pasukan, yang juga pasukan kesayangannya tersingkir.

Detik ‘bittersweet’ itu dianggap antara yang paling menyentuh perasaan peminat bola sepak.

Ajax tersingkir ke Liga Europa. Ajax hanya memerlukan diri mereka mengelak tewas sahaja dalam perlawanan ini. Seri sudah cukup untuk membawa mereka mara ke pusingan 16 pasukan akhir.

https://twitter.com/i/status/1204525971963076608

Namun ternyata musim yang tidak seindah musim lalu untuk skuad bimbingan Eric Ten Hag.

Ajax menamatkan saingan di tangga ke-3 dengan 10 mata. 1 mata di belakang 2 pasukan teratas yang berkongsi mata iaitu Valencia, selaku juara kumpulan dan Chelsea selaku naib juara.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.