Nelo Vingada Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Harimau Malaya

Nelo Vingada telah meletakkan jawatan beliau sebagai jurulatih kebangsaan Harimau Malaya. Berita itu disahkan oleh FAM menerusi laman rasmi mereka.

Vingada hanya mengendalikan skuad Malaysia kurang daripada 7 bulan. Beliau dilantik pada Mei tahun 2017. Sepanjang tempoh tersebut Nelo Vingada gagal mencatatkan sebarang kemenangan bersama skuad Malaysia.

Tugasan Vingada agak sukar kerana terus berada dalam misi kelayakan Piala Asia. 2 kali ranking Malaysia jatuh ke rekod terburuk sejak 1993.

Sebelum ini TMJ, selaku Presiden FAM tidak ada tekanan ke atas Vingada dan masih memberikan jurulatih itu masa untuk membentuk skuad negara. Ini kerana TMJ sudah menjangkakan Malaysia akan berada dalam kesukaran untuk mara ke Piala Asia.

Dalam kenyataan rasmi beliau, Nelo Vingada berkata:

“Selepas mengadakan perbincangan dengan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.”

Vingada terpanggil untuk meletak jawatan atas dasar mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kehambaran prestasi semasa skuad Malaysia di bawah kendalian beliau.

Perletakan jawatan itu diterima sendiri oleh Presiden FAM.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang telah berlaku itu, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta merta dan Tunku Presiden sendiri turut telah menerima keputusan yang saya buat ini.”

Selain Vingada , 2 lagi pembantu beliau turut melepaskan jawatan mereka.

“Saya ingin memaklumkan juga bahawa dua pembantu yang saya bawa bersama ke sini iaitu Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa turut bersama melepaskan jawatan mereka, masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.”

Vingada berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia akan kembali bersinar.

“Akhir kata pada kesempatan ini, saya berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini dan saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia biarpun dalam tempoh masa yang agak singkat ini.”

Sebagai rekod Nelo Vingada pernah membantu Portugal menjuarai Piala Dunia Belia pada tahun 1989 dan 1991 sebagai pembantu jurulatih. Beliau juga membantu Arab Saudi menjuarai Piala Asia pada 1996 sebagai ketua jurulatih.

Siapa pengganti?

Kini kerusi panas itu kosong dan pembantu Vingada, Tan Cheng Hoe dijangka akan mengambil alih jawatan itu sementara sebagai interim.

Terima kasih di atas khidmat bakti anda.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.