Pada ketika ini, ramai generasi pertama pemain profesional e-sukan yang terpaksa bersara. Lantas persoalan timbul, apa yang akan berlaku kepada mereka selepas melakukan beribu-ribu ‘pembunuhan’ di alam maya?
Isu peak
Pakar analisis e-sukan percaya, para pemain e-sukan akan menunjukkan penurunan kecekapan mereka dalam permainan tersebut, yang menyukarkan mereka kekal bersaing di peringkat tertinggi. Reaksi dan kecekapan mereka ke atas pengendalian permainan menurun.
Setiap milisaat itu sangat penting dalam pertarungan di alam maya. Kepantasan adalah senjata paling utama dalam usaha mengejar kegemilangan dan hadiah wang tunai berjuta dollar.
Dalam pertandingan Dota 2 di Shanghai tahun ini, hadiah terkumpul kini bernilai US$33.7 juta. Angka ini dijangka akan terus meningkat selepas ini berdasarkan trend pelabur pada hari ini yang berpusu-pusu mahu melabur di dalam arena e-sukan.
Ramai yang menyatakan dalam e-sukan Dota, para pemain akan ‘tamat’ selepas berusia 30 tahun. Ada beberapa pemain mengakui mereka berusaha keras untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi.
Michael “Ninjaboogie” Ross, antara mereka yang berharap akan kekal lebih lama di arena tertinggi. Kini beliau sudah berusia 27 tahun dan sedar, persaraan semakin dekat.
Fasa seterusnya
E-sukan sangat ramai pemainnya pada hari ini. Dan bukan semua orang boleh mendapat hadiah wang tunai yang berjuta dalam karier mereka. Jadi, apa perancangan mereka apabila sudah bersara daripada dunia e-sukan, dengan ramai di antara mereka sudah meninggalkan pelajaran dan bidang lain pada usia muda, demi untuk fokus kepada e-sukan.
Bagi mereka yang pernah memenangi hadiah berjuta-juta dalam karier, ia mungkin bukan satu masalah, kerana mereka boleh merancang banyak perkara dengan wang yang ada.
Ross berkata: “Hmm, sekarang ini, saya tidak pernah sekali terfikir soal itu (hidup selepas persaraan).”
Pada hari ini, ramai pemain e-sukan profesional ini mahu menjadi pengulas, jurulatih, apabila bersara. Namun kapasiti untuk diisi sangat kecil. Tidak semua orang boleh mengulas dengan baik di kaca tv, dan tidak semua orang boleh menjadi jurulatih.
Seterusnya, ramai pemain e-sukan yang menghadapi masalah seperti sakit pergelangan tangan dan juga sakit mata. Ini selepas mereka meluangkan masa sehingga (atau lebih) 12 jam di hadapan komputer.
Duncan “Thorin” Shields, yang merupakan salah seorang sejarawan e-sukan menyatakan, ramai pemain ini bersara awal kerana terpaksa. Mata dan fizikal mereka tidak mampu untuk duduk di hadapan komputer untuk tempoh yang lama lagi.
Duncan juga menjelaskan, ramai ‘gamers’ ini bergantung kepada pendapatan sampingan dengan saluran YouTube mereka. Namun persaingan pada hari ini sangat tinggi dengan kebanjiran ‘streamer’ yang baharu, termasuk mereka yang bukan pemain e-sukan profesional.
Duncan juga menjelaskan, apabila usia seseorang itu meningkat, dalam dunia e-sukan, semakin seseorang itu berusia/berpengalaman, semkin turun nilai mereka.
Duncan menambah lagi: “Ramai orang anggap, ‘peak’ untuk pemain e-sukan adalah pada 21-22 tahun. Sebenarnya, selepas anda melebihi usia 20 tahun, anda sudah dikira hampir tamat. Anda semakin tidak relevan untu bersaing.”
Kurtis “Aui_2000” Ling, antara pemain e-sukan terkaya dalam sejarah. Pemain yang terbaik dituntut untuk berada di lebih lama di hadapan komputer. Dan beliau terpaksa bersara pada usia 26 tahun kerana ada kecederaan fizikal.
Kurtis agak bertuah kerana beliau berjaya mengumupul wang persaraan bernilai US$2 juta, menurut laporan esportsearnings.com. Beliau juga kini menjadi jurulatih pasukan Newbee. Tidak ramai yang mampu mengikuti jejak langkah beliau berdasarkan jumlah para pemain yang menceburkan diri dalam dunia e-sukan secara sepenuh masa.
Namun begitu, Kurtis tidak setuju dengan pandangan bahawa para atlet e-sukan, peak mereka berakhir awal 20-an. Sebaliknya beliau percaya para pemain e-sukan boleh bermain sehingga usia 40 yahun sekalipun.
Pengurus besar Virtus Pro, Roman Dvoryankin menegaskan beliau mahu membantu para pemain-pemain e-sukan ini apabila bersara kelak. Beliau melihat industri e-sukan kini semakin mahal.
Lantas Roman, menawarkan beberapa jawatan kepada bekas pemain profesional ini termasuk Pengarah Sukan. Namun ketika ini, Roman masih menunggu calon yang sesuai. Pilihan masih terhad kerana generasi pertama atlet e-sukan profesional ini, masih ramai yang aktif menjadi pemain.
Sumber: AFP