Mundo Deportivo Dedah Perbualan Telefon Pogba Pujuk Dembele Sertai Manchester United

Manchester United dilaporkan sedang berbincang untuk membawa masuk Ousmane Dembele dari Barcelona. Ini setelah, menurut Fabrizio Romano, Manchester United kini sudah menyerah kalah untuk memenuhi permintaan €120 juta daripada Borussia Dortmund untuk Jadon Sancho.

“Demikianlah kisah mengenai Sancho,” kata Romano di Twitter pada Jumaat.

“Jadon sendiri sememangnya sentiasa mahu menyertai Man United, dan sudah bersetuju mengenai terma peribadi sejak Julai, tetapi… [harus membayar] €120 juta atau tiada [apa-apa akan berlaku].”

Dembele sebagai pengganti

Setelah menyerah kalah untuk mendapatkan Sancho, Manchester United melihat Ousmane Dembele sebagai alternatif dan pilihan utama sebagai pengganti.

Manchester United kini dipercayai bergelut dengan tarikh tutup jendela perpindahan pada Isini akan datang untuk membawa pemain dari Perancis itu ke Old Trafford.

Pemain sayap itu dikenali sebagai pemain yang kerap mengalami kecederaan. Namun mengambil kira bakat yang dimilikinya, ia mungkin adalah risiko yang berbaloi untuk diambil dalam keadaan terdesak begini.

Barcelona sendiri pernah yakin dengan pelaburan berjumlah £96.8 juta untuk Dembele. Tetapi pada hari ini pelaburan tersebut mulai dipersoalkan setelah penampilan pemain itu di Nou Camp sentiasa dihadkan oleh kecederaan.

Namun demikian perpindahan ke Old Trafford boleh dilihat sebagai satu peluang oleh pemain itu untuk menghidupkan kembali kariernya.

Pogba hubungi Dembele

Dembele tidak akan kesunyian sekiranya memilih untuk meninggalkan Nou Camp untuk ke Old Trafford.

Ini kerana beliau akan menjadi rakan sepasukan pemenang Piala Dunia 2018, Paul Pogba.

Menurut laporan, Pogba memainkan peranan penting untuk meyakinkan rakan senegaranya itu untuk menyertai United.

Ini bukan kali pertama Pogba bertindak sebagai ejen untuk Manchester United. Sebelum ini Pogba turut memainkan peranan meyakinkan Romelu Lukaku menyertai beliau menyertai juara Liga Perdana Inggeris sebanyak 20 kali itu.

Menurut media Sepanyol,  Mundo Deportivo pemain tengah Perancis itu telah menghubungi Dembele dan menjelaskan cita-cita yang dimiliki oleh Manchester United sebagai sebuah kelab.

Malah Pogba berkata Dembele tidak akan kekok di Old Trafford kerana pemain-pemain yang mahir bertutur Bahasa Perancis seperti Eric Bailly, Anthony Martial dan dirinya sendiri.

Pogba juga menjelaskan kepada Dembele bahawa pemain itu akan mendapat lebih banya peluang di United berbanding bersama Barcelona.

Ini kerana peningkatan prestasi Ansu Fati dan ketibaan Francisco Trincao akan menghadkan peluang Dembele di bawah kendalian Ronald Koeman. Pogba percaya perkara sebaliknya di United kerana tiadanya pemain sayap sejati di United.

Pogba turut yakin peluang Dembele bersama skuad kebangsaan Perancis pada masa depan adalah lebih cerah jika ke United, apatah lagi kejohanan Eropah pada musim hadapan semakin menghampiri.

Menurut ESPN, apa yang dilakukan oleh Pogba jelas berkesan, dan Dembele telah berjaya diyakinkan untuk menyertai Setan Merah.

Mungkin Pogba juga nak jadi ejen selepas bersara sebagai pemain.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.