Mourinho Memberikan Pujian Melambung Kepada Pengadil Perlawanan Dan Para Pembantunya

Pengurus Tottenham Hotspur telah memberikan pujian yang agak mengejutkan kepada Michael Oliver selepas tamat perlawanan pasukannya menentang Burnley semalam.

Tottenham hotspur telah bertemu Burnley untuk perlawanan saingan liga semalam dan skuad kendalian Jose Mourinho itu berjaya memperoleh tiga mata penuh dengan mencatatkan kemenangan 1-0.

Dalam temu bualnya selepas tamat perlawanan di Turf Moor itu, Mourinho telah memuji serta berasa sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pengadil perlawanan dan para pembantunya.

Walaupun terdapat beberapa insiden kontroversi dalam perlawanan tersebut termasuk insiden yang mengaitkan Ashley Barnes dengan Toby Alderweireld, namun ianya tidak menjadi masalah untuk Jose Mourinho.

Ramai yang beranggapan bahawasanya Barnes sangat beruntung tidak dilayangkan kad merah dalam perlawanan semalam selepas beliau menyiku pemain pertahanan Spurs, Toby Alderweireld.

Penyerang Burnley itu telah menyiku di bahagian kening Toby Alderweireld ketika perlawanan sedang berlangsung pada babak pertama permainan.

Mourinho bagaimanapun telah menyatakan bahawa beliau sangat berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk tempoh sepanjang perlawanan tersebut.

” Saya juga rasa bahawa Michael Oliver sangat, sangat bagus dan pembantunya juga sangat, sangat bagus.”

Jelas Mourinho kepada Sky Sports.

“Untuk perlawanan yang seperti ini, kita perlukan seorang pengadil yang bagus. Kita perlukan pengadil yang sudah berpengalaman dan dia adalah orang nya.”

“Dia sangat memuaskan hati saya dengan cara bagaimana dia mengawal permainan. Dia tidak perlu melayangkan kad merah kepada Barnes kerana ianya akan mencipta satu isu yang lain, jelas sekali ianya akan merubah terus suasana perlawanan ini.”

Mourinho kemudian meneruskan temu bual tersebut dengan terus memberikan pujian kepada Oliver.

“Semua perebutan, kerana perlawanan ini terdapat terlalu banyak perebutan secara individu, terutama sekali dengan kesemua long ball yang mereka rencanakan di first third kami, dia harus sentiasa bergerak mengikut bola, ianya sukar kerana bola terlalu banyak bergerak dalam perlawanan seperti ini.”

“Untuk menyatakan dengan lebih jelas, dia sangat bagus, benar-benar sempurna.”

Insiden Barnes menyiku Toby Alderweireld telah menjadi topik perbualan terhangat di sosial media ketika perlawanan sedang berlangsung dan semasa rehat separuh masa.

Skuad kendalian Jose Mourinho cemerlang menewaskan Burnley dengan jaringan yang sungguh cantik dari Son Heung Min hasil umpanan Harry Kane.

Sebelum mencatatkan assists dengan teknik tandukan ala sepak takraw untuk Son Heung Min, Kane terlebih dahulu menggunakan kelebihan menanduknya untuk melindungi gawang gol Spurs dari dibolosi.

Pada minit ke-71 permainan, Burnley terlebih dahulu berpeluang untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan cantik dari James Tarkowski, namun berjaya diselamatkan oleh Harry Kane.

Kane ketika Burnley sedang mengambil sepakan penjuru berada di hadapan gawang gol Spurs, dan sebaik bola menuju ke arah Tarkowski, Kane berpaling dan masuk ke dalam gawang golnya.

Beliau berada di tempat yang betul dan pada waktu yang tepat ketika itu yang mana bola tandukan Tarkowski benar-benar menuju ke arahnya sebelum beliau menanduk keluar bola tersebut sebelum menerjah gawang gol Spurs.

Empat minit selepas melakukan aksi penyelamatan atas garisan yang sungguh mengagumkan itu, Kane telah menggunakan kepakaran menanduknya untuk mencatatkan assits yang cukup cantik kepada Son Heung Min.

Pemain kebangsaan England itu menanduk bola tepat ke arah Son selepas menerima bola sepakan penjuru dari Erick Lamela.

Son yang sudah bersedia di hadapan gol Burnley ketika itu, telah melayangkan badannya lalu menanduk masuk bola hantaran Kane untuk gol pembukaan Spurs mendahului perlawanan 1-0.

Assists tersebut menjadikan Kane kini sebagai pemain paling banyak mencatatkan assist dalam saingan premier league dengan mencatatkan lapan assists dari enam perlawanan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.