Mourinho Dedah Alasan Mengapa Bale Diketepikan Dari Skuad Ketika Bertemu Everton

Jose Mourinho mendedahkan tentang mengapa beliau tidak menyenaraikan nama Gareth Bale dalam skuadnya ketika bertemu Everton kemarin.

Tottenham Hotspur dikejutkan dengan kekalahan 5-4 di tangan Everton dalam aksi saingan Piala FA, hasil jaringan di masa tambahan oleh Bernard.

Ramai yang mempertikaikan tentang keputusan Mourinho yang tidak menyenaraikan nama Bale ke dalam skuadnya.

Mourinho tampil mendedahkan sebab mengapa beliau terpaksa menyingkirkan nama Bale ketika aksi perlawanan bertemu Everton itu.

Beliau sendiri sebenarnya sangat terkejut ketika diberitahu oleh Bale sendiri bahawa dirinya tidak bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan tersebut.

Mourinho kemudian turut menyatakan bahawa Bale juga turut meminta agar dirinya diperiksa untuk memastikan status kecederaan pada hari sepatutnya beliau bermain.

Bale meminta beliau melakukan itu hanya kerana merasakan dirinya seperti kurang cergas dan tidak bersedia untuk bermain.

“Rasanya lebih selamat untuk saya katakan bahawa ketika kita bermain bertemu West Brom pada hari ahad dia tidak bermain dan berada di bangku simpanan.”

“Pada hari Isnin, saya agak terkejut apabila dia masuk ke bilik rawatan meminta untuk diperiksa tahap kecederaan kerana merasakan dirinya mengalami kesakitan.”

“Dia tidak menjalani latihan pada hari Isnin dan kemudian pada hari Selasa dia turun berlatih. Tetapi saya dimaklumkan ia hanya kerana dia mahu beri kerjasama kepada jabatan sains sukan untuk beberapa hari bagi menguatkan bahagian fizikalnya yang dia rasa agak sakit.”

“Inilah sebab kenapa dia tak berada di sini. Saya tak rasa ia kecederaan yang jelas. Apa yang boleh saya katakan, dia cuma rasa tidak selesa sebab itu lah dia tak mampu untuk berikan 100% ketika dalam sesi latihan.”

Ketika ditanya pandangan beliau tentang Bale yang jarang sekali diturunkan untuk beraksi sepanjang musim ini, Mourinho menjawab:

“Gareth tiada di sini buat masa ini. Saya mahu jelaskan keadaan dan saya sudah habis jujur dan sangat terbuka tentangnya.”

Hal seperti Bale meminta untuk dirinya dikecualikan daripada turun beraksi dalam perlawanan penting bukan lah baru kali pertama berlaku dalam kariernya.

Ketika beraksi bersama Real Madrid, Gareth Bale pernah menghantar surat cuti sakit kepada Zinedine Zidane kerana tidak mahu turun berlatih dan mahu diketepikan dalam perlawanan penting.

Apa yang lebih teruk lagi, selepas menghantar surat cuti sakit itu, Bale dengan tenang dan santai pergi bermain Golf dan menyiarkannya di laman media sosial beliau.

Itulah sebab dan punca mengapa hubungan beliau bersama Zidane mulai retak dan membuatkan pengurus dari Perancis itu tidak suka dengan disiplin pemain kebangsaan Wales itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.