Mourinho Bangga Dan Sindir Real Madrid Selepas Bale Jaring Gol Kemenangan Spurs

Pengurus Tottenham Hotspur tidak dapat menahan diri daripada memberi komen yang menyindir Real Madrid selepas Gareth Bale menjaringkan gol kemenangan untuk Spurs.

Penyerang antarabangsa Wales itu sebelum ini sering kali dikritik dan menjadi kambing hitam setiap kali Real Madrid tidak memperolehi keputusan yang mereka kehendaki.

Mourinho memuji personaliti Bale selepas pemain itu menjaringkan gol kemenangan ke atas Brighton dan berkata beliau kini sedang menanti bagaimana mereka di Madrid memberikan reaksi terhadap prestasi Bale.

Gol pertama Bale sejak kembali menyertau Spurs secara pinjaman dari kelab La Liga itu pada September lalu memberikan kemenangan 2-1 ke atas Brighton pada Ahad lalu untuk membawa Spurs ke kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris – dua mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Sebelum itu Harry kane menjaringkan gol ke-149 di Liga Perdana Inggeris dari sepakan penalti untuk menyamai rekod Les Ferdinande sebagai pemain ke-10 dengan rekod jaringan tertinggi sepanjang zaman di saingan tersebut.

Walaupun mendahului, skuad Graham Potter berjaya menyamakan kedudukan sebelum tempoh sejam perlawanan berlangsung melalui jaringan Tariq Lamptey.

Bale memastikan tiga mata milik mereka apabila menanduk masuk bola dari jarak lapan meter pada minit ke-73 perlawanan, selepas pemain itu dibawa masuk tiga minit sebelum itu untuk menggantikan Erik Lamela.

Sebagai pengendali, Mourinho berbangga dengan apa yang beliau saksikan, dan tidak dapat mengelak untuk mencuit bekas kelab, Real Madrid yang dikendalikan oleh Zinedine Zidane.

“Untuk lebih seminggu sekarang, beliau semakin meningkat,” kata Mourinho dalam komennya terhadap Bale di sidang media selepas perlawanan.

“Ia [penilaian] bukan sekadar hasil daripada melihat sendiri aksi beliau, tetapi juga berdasarkan data yang diperolehi.

“Kami tahu, dan Gareth juga mengetahuinya. Kami berkongsi idea dan juga perasaan.

“Kami layak untuk mendapatkan gol itu. Jika saya ada masa lima minit, saya akan pergi ke Safari untuk mencari laman sesawang Madrid untuk mencari jika ada sebarang komen dari mereka mengenai beliau.

“Beliau menampilkan personaliti yang hebat dan memberikan impak yang amat baik, menjaringkan gol yang amat penting untuk kami. Beliau juga menyertai Harry dengan pengalamannya bermain pada 15 minit terakhir perlawanan.

“Mereka amat bijak, amat pintar, terutama dengan mempertahankan bola di zon dimana lawan tidak boleh mengapa-apakan kami.

“Gareth tahu kami mengambil berat terhadap beliau dan beliau juga peduli mengenai kelab ini. Ia adalah padanan sempurna. Beliau amat tenang, amat bijak. Saya gembira beliau telah menjaringkan gol kemenangan itu.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.