Mo Salah Berjaya Memecahkan Dan Mencipta Rekod Baru Dalam Perlawanan Bertemu Leeds

Pertemuan Juara Championship bertemu Juara Premier League pada awal pagi tadi boleh dianggap sebagai salah satu perlawanan terbaik sepanjang zaman.

Lima gol terhasil di babak pertama dengan Liverpool mendahului Leeds 3-2 serta dua lagi jaringan berjaya dicipta pada babak kedua dan perlawanan tersebut berakhir dengan the reds memenangi perlawanan 4-3.

Aksi serang menyerang dan jaringan demi jaringan yang terhasil menjadikan perlawanan tersebut sebagai antara perlawanan terhebat sepanjang zaman.

Para peminat sememangnya teruja untuk menyaksikan pertembungan taktikal antara Jurgen Klopp dan Marcelo Bielsa.

Perlawanan yang berlangsung di Anfield itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada sang penakluk dunia, Liverpool.

Selain berjaya memperoleh kemenangan pertama dalam saingan liga, kem Liverpool turut meraikan rekod yang berjaya dipecahkan oleh bintang sensasi mereka, Mo Salah.

Mo Salah berjaya menjaringkan tiga dari empat gol yang dihasilkan dalam perlawanan tersebut dan dua darinya terhasil dari sepakan penalti.

Jaringan tersebut menjadikan Mo Salah satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan untuk empat musim berturut-turut.

Mo Salah juga merupakan pemain Liverpool pertama menjaringkan hat-trick dalam perlawanan pembukaan sejak kali terakhir berjaya dilakukan oleh John Aldridge pada tahun 1988.

Permulaan yang baik dari the Egyptian king itu dan jaringan kedua beliau dalam perlawanan ini boleh dikira sebagai gol tercantik setakat ini.

Mo Salah membuka tirai jaringan pada minit ke-4 perlawanan menerusi sepakan penalti yang kencang menerjah bahagian tengah jaring gol lawan.

Tidak lama selepas jaringan itu, giliran Leeds United pula menjaringkan gol penyamaan menerusi Jack Harisson.

Virgil Van Dijk yang beraksi kurang baik dalam perlawanan ini tetap menyumbangkan sesuatu untuk skuad dengan menjaringkan gol ke-2 untuk Liverpool pada minit ke-20.

Van Dijk menerima bola hasil dari sepakan sudut yang di ambil oleh Andrew Robertson dan ditanduk kencang olehnya menerjah gawang gol Leeds.

Sepuluh minit selepas itu, kesilapan dari Virgil Van Dijk sendiri, Leeds berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Patrick Bamford.

Pada minit ke-33, Mo Salah kembali membawa Liverpool mendahului perlawanan dengan menjaringkan gol yang sungguh padu.

Rembatan kencang beliau berjaya menerjah sudut atas sebelah kiri gawang gol Leeds dan perlawanan babak pertama berakhir dengan Liverpool mendahului perlawanan 3-2.

Pada minit ke-66, Leeds sekali lagi menyamakan kedudukan hasil jaringan dari Matuesz Klich yang menanduk masuk hantaran dari Helder Costa.

Liverpool akhirnya berjaya memperoleh jaringan kemenangan pada minit ke-88 sekali lagi menerusi sepakan penalti dan disempurnakan juga dari pain yang sama.

Perlawanan pembukaan yang sungguh menarik untuk ditonton dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan kejar mengejar.

Dengan aksi yang dipamerkan dalam perlawanan semalam, Leeds mungkin bakal menjadi pasukan yang mampu untuk mencabar kelab-kelab gergasi yang lain.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.