Datuk Lee Chong Wei antara legenda sukan terbaik yang pernah kita lahirkan. Beliau merupakan bekas pemain no.1 dunia dan menjadi pemain badminton yang banyak sekali kejuaraan.
Datuk Lee Chong Wei sudah pun bersara dari lapangan sukan profesional. Namun semangat dan cintanya kepada negara tak pernah pudar.
Beliau menabur bakti kepada Malaysia selama 19 tahun lamanya.
Terbaru, BERNAMA melaporkan bahawa Datuk Lee Chong Wei menyumbang dana bernilai RM2 juta kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), menerusi Yayasan Lee Chong Wei.
Beliau berharap dana tersebut akan dapat membantu negara dalam merealisasikan impian bagi menyaksikan lagu Negaraku berkumandang julung kalinya di pentas Olimpik.
Lee Chong Wei berkata: “Beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah impian saya tapi saya terpaksa bersara atas sebab kesihatan. Jadi saya harap dengan dana ini, dapat membantu persediaan atlet apa yang patut untuk mereka melayakkan diri ke temasya itu.”
Datuk Lee Chong Wei turut membuka pintu kepada semua atlet yang mencari tajaan. Yayasan mereka akan meniliti sebaiknya setiap permohonan.
Chong Wei dilantik menjadi ketua kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik 2020. Beliau berharap para atlet yang terlibat akan terus menjaga kondisi fizikal, mengelakkan kecederaan dan melakukan persiapan terbaik.
Lee Chong Wei sebelum ini terpaksa melupakan impian beraksi di Olimpik Tokyo kerana kecederaan. Namun semangat beliau mahu membantu negara Malaysia memenangi pingat emas di Olimpik itu kelak tetap mekar.
“Saya sendiri tidak berjaya menyumbang pingat emas buat negara namun saya harap atlet yang akan saya bawa ke Tokyo boleh berbuat demikian. Tapi apa yang penting sekarang, kita jangan beri tekanan kepada atlet dulu.”
“Sukan Olimpik adalah temasya terbesar dunia dan sudah pasti cabaran memang sukar. Atlet perlu kuatkan mental mereka. Apa yang saya harapkan sekarang ialah semua atlet sihat, tidak mengalami kecederaan dan teruskan memburu kelayakan,” katanya lagi.
Datuk Lee Chong Wei berharap akan lebih ramai atlet Malaysia mara ke Sukan Olimpik dan tidak terlalu bergantung kepada beberapa atlet sahaja dalam memburu misi pingat olimpik.
“Apa yang penting sekarang ialah, kita mahu lebih ramai atlet negara layak ke Sukan Olimpik. Medal semua atlet boleh sumbang medal. Menerusi terjun, Azizul dalam sukan basikal dan memanah serta Farah Ann yang baru sahaja layak.”
Bercakap tentang pemilihan siapa pemain badminton yang bakal beraksi di pentas Olimpik, Datuk Lee Chong Wei menyatakan segalanya akan diketahui selepas 31 April 2020.
Sumber: Astro Awani