Mick Doohan, Legenda Yang Menjuarai 5 Gelaran Dunia Dengan Brek Belakang Di Tangannya

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Mick Doohan adalah pelumba motosikal dari Australia. Beliau memulakan debut dalam Grand Prix-nya 500cc – premier pada 1989. Beliau menamatkan musim di tangga ke-9.

Doohan ada satu rekod unik. Beliau antara sekumpulan kecil pelumba yang memiliki gelaran juara dunia 500 cc dan juga Superbike World Championship (WSBK).

Doohan memenangi 5 gelaran dunia 500cc. Hanya Giacomo Agostini (8 kali) dan Valentino Rossi (7 kali setakat ini) yang memenangi lebih banyak gelaran daripada Doohan.

Doohan adalah pelumba motosikal yang paling popular pada era 90-an. Beliau antara nama penting dalam menaikkan publisiti sukan ini.

Foto – Piboso

Minat Dari Usia 8 Tahun

Beliau meminati sukan permotoran ini sejak berusia 8 tahun lagi bersama abang-abangnya. Ayahnya menyokong hobi mereka dan memasukkan mereka ke dalam kelab lumba motor di Brisbane.

Bakat beliau dikesan oleh ramai pengurus pasukan permotoran. Beliau menyertai pertandingan motosikal di kawasan sekitar.

Namun Doohan pernah tawar hati untuk meneruskan karier sebagai pelumba motosikal setelah kematian ayahnya pada usia beliau 12 tahun pada 1987.

Pada 1988, Doohan tidak komited dengan latihan apatah lagi untuk mengejar slot dalam kejohanan perdana. Doohan akhirnya menukar angin menyertai road bike.

Setelah memenangi beberapa kejohanan, Doohan akhirnya ditawarkan kontrak untuk menyertai perlumbaan Gand Prix 500cc pada 1989.

Memacu Jentera 500cc Di Moto GP

Pada musim debut beliau 1989, Doohan menamatkan musim di tangga ke-9 dengan mengutip 89 mata.

Pada akhir musim 1990 Doohan meraikan podium kemenangan pertama beliau di GP Hungary. Beliau menamatkan saingan di tangga ke-3. Satu peningkatan yang sangat mendadak daripada beliau.

Pada 1991, Doohan pernah digandingkan bersama legenda Amerika Serikat, Wayne Gardner dalam pasukan Honda RVF750 dan memenangi pertandingan endurance, Superbike Suzuka 8 Hours.

Pada musim Moto GP 1991, Doohan menjadi pencabar utama kejuaraan dengan kejayaan menamatkan musim di tangga ke-2. Beliau semakin mendapat perhatian peminat sukan permotoran di seluruh dunia.

Kemalangan 1992

Doohan hampir pasti untuk menggenggam kejuaraan Moto GP pertama beliau. Malang tidak berbau pada 1992, Doohan terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan di GP Belanda.

Beliau menderita kerosakan kekal pada bahagian kaki beliau dan hampir dipotong. Ketika kejadian ini berlaku Doohan sudah 65 mata di hadapan pelumba lain.

Doohan kembali dalam 2 perlumbaan terakhir namun sudah terlambat untuk Doohan menghalang pelumba Yamaha Wayne Rainey daripada memenangi kejuaraan ke-3 berturut-turut. Itupun hanya 4 mata di atas Doohan.

Namun beliau terpaksa melupakan 8 minggu perlumbaan. Gelaran dunia pertama yang hampir dicapainya lenyap begitu sahaja.

Foto – Fox Sport

Musim 1993, Doohan bergelut dengan prestasi. Beliau berhadapan dengan kesakitan pada kakinya. Honda kemudian membantu beliau dengan menukar sistem brek belakang kepada brek tangan yang dipasang di sebelah kanan.

Operasi brek belakang di bahagian kaki dimansuhkan kerana kaki Doohan ada masalah. Doohan menamatkan perlumbaan di tangga ke-4 pada musim tersebut.

Kebangkitan Luar Biasa

Doohan tidak pernah berputus asa. Beliau terus diberikan kepercayaan oleh Honda. Pada musim 1994, Doohan meraikan kejuaraan pertama beliau dalam kategori 500 cc sebagai juara dunia.

Beliau mengekalkan kejuaraan itu sehingga 1998. Doohan terlalu unggul untuk dicabar mana-mana pelumba lain. Peminat dan pengikut Doohan di seluruh dunia kian bertambah. Beliau menjadi idola kepada ramai pelumba lain.

Foto – Moto GP

Ini kerana, kisah beliau mengatasi masalah kesakitan fizikal beliau telah menjadi inspirasi ramai manusia lain. Beliau gigih dan memiliki etika kerja yang sangat dikagumi.

Musim 1997, adalah musim terbaik Doohan. Beliau memenangi 12 daripada 15 perlumbaan musim tersebut. Hanya sekali beliau gagal menaiki podium. 2 lagi kejayaan beliau adalah menamatkan pusingan di tempat ke-2.

Doohan mengutip 340 mata pada 1997 dan mata tertinggi di dalam sejarah karier beliau.

Kemalangan Sekali Lagi Dan Persaraan

Pada 1998, Doohan sekali lagi terlibat dalam kemalangan ketika sesi kelayakan GP Sepanyol. Kali ini beliau cedera agak parah. Beberapa bahagian badan beliau patah.

Seluruh dunia bersedih dan mendoakan agar Doohan cepat sembuh dan kembali semula ke litar perlumbaan.

Namun itulah kali terakhir Doohan menunggang jentera berat itu di litar. Ini kerana Doohan mengumumkan persaraan beliau dari sukan permotoran.

Legenda No.1

Itulah kisah seorang pelumba yang bertarung dengan kesakitan di kakinya sejak 1992. Beliau masih mampu menjadi juara dunia walaupun terasa kesakitan.

Pencapaian luar biasa beliau memenangi 5 gelaran dunia 500 cc secara berturut-turut dari 1994-1998 antara kisah kebangkitan yang penuh inspiras.

Sepanjang 10 tahun karier di Grand Prix, Doohan mencatatkan 54 kemenangan. Rekod yang akhirnya disamai peluma Repsol Honda, Marc Marquez pada 25 September 2016 ketika perlumbaan GP Aragon.

Deruman motosikal Honda Mick Doohan adalah bunyi yang dirindui peminat Motor GP era 90-an.

Foto – Visor Down

SHARE ()