Messi Muram Walaupun Selepas Bantu Barcelona Menang

Ramai berpendapat reaksi Lionel Messi selepas Barcelona muncul pemenang Trofi Joan Gamper sebagai ‘muram’ dan menjelaskan keadaan sebenar pemain dari Argentina itu di Nou Camp.

Pada bulan lalu pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu telah menghantar permohonan rasmi untuk berpindah meninggalkan gergasi Catalan itu.

Malah laporan dan khabar angin bertiup kencang mengatakan Messi bakal menyertai Manchester City untuk bergabung kembali bersama bekas pengendali, Pep Guardiola.

Namun walaupun selepas menyerahkan permohonan rasmi kepada pihak pengurusan kelab, Messi menukar keputusannya selepas Barcelona berdegil untuk tidak melepaskan pemain itu tanpa membayar klausa pelepasan bernilai 700 juta euro.

Messi juga enggan mengheret Barcelona ke mahkamah, sekali gus bermakna beliau perlu menamatkan baki setahun yang ada di dalam kontrak beliau sekiranya mahu pergi.

Melalui satu temuramah dengan Goal selepas itu, Messi turut menyentuh mengenai hubungannya dengan presiden kelab, Josep Maria Bartomeu yang beliau sifatkan sebagai pembohong.

Messi kembali menyertai latihan pada tengah hari Sabtu berikutnya dan beraksi dalam perlawanan tradisi tanda permulaan kempen musim baharu yang dianjurkan oleh kelab itu – Trofi Joan Gamper – menentang satu lagi pasukan LaLiga, Elche.

Seperti kebiasaan pemain berusia 33 tahun itu memperagakan aksi terbaik dan memainkan peranan penting untuk gol yang dijaringkan oleh Antoine Griezmann pada minit ke-3 perlawanan.

Walaupun Barcelona menang perlawanan itu dengan jaringan 1-0, reaksi Messi selepas tamat perlawanan menjelaskan segala-galanya.

Pemain itu kelihatan muram dan tidak gembira. Dan apabila giliran beliau untuk menerima trofi selaku kapten, beliau langsung tidak mengangkat muka. Tiada lagi senyuman di wajah Messi.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.