Messi Luah Kekecewaan Kerana Dipulau Oleh 6 Rakan Di Barcelona

Lionel Messi meluahkan kekecewaan akibat dipulau oleh enam rakan sepasukannya di dalam pasukan Barcelona.

Penyerang Argentina berusia 33 tahun itu sebelum ini bergumul dengan saga perpindahan pada musim panas lalu, dengan menyatakan keinginannnya meninggalkan Nou Camp.

Messi kini juga bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab di luar Sepanyol pada Januari ini menjelang kontrak beliau bersama Barcelona yang akan tamat pada musim panas 2021.

Laporan awal sebelum ini pernah mendedahkan hubungan dingin di antara pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali itu dengan beberapa rakan sepasukan yang lain.

Malah kapten Barcelona itu tidak menyembunyikan perasaannya, menyatakan dirinya ‘kesunyian’ di bilik persalinan pasukan.

Hubungan dingin Messi dengan enam pemain di Nou Camp juga kelihatan berlanjutan.

Diario Gol melaporkan bahawa Riqui Puig, Marc-Andre ter Stegen, Ousmane Dembele, Miralem Pjanic, Samuel Umtiti dan Junior Firpo adalah pemain yang sudah tidak bercakap dengan Messi.

Akhbar Sepanyol itu bagaimanapun turut mendedahkan kapten Argentina itu masih mendapat sokongan beberapa pemain senior lain seperti Sergio Busquets, Jordi Alba dan Gerard Pique.

Tatkala jendela perpindahan Januari semakin hampir, berita perpindahan Messi ke Paris Saint-Germain dan Manchester City kini menjadi semakin panas. Tidak ketinggalan dikaitkan dengan pemain itu ialah Inter Milan.

Dalam satu temuramah di Argentina baru-baru ini, Messi mengakui prestasi beliau pada awal musim bersama Barcelona sedikit terkesan akibat terbawa-bawa dengan saga perpindahan yang berlaku pada musim panas lalu.

Bercakap kepada La Sexta, Messi berkata: “Saya melalui tempoh yang sukar pada musim panas. Ia seperti terkumpul.

“Apa berlaku pada musim panas, dan bagaimana musim [lalu] berakhir, kisah permohonan perpindahan melalui faks dan segalanya. Sedikit sebanyak ia telah memberi kesan kepada prestasi pada permulaan musim.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.