Messi Boleh Kembali Beraksi Bulan Depan Selepas Hukuman Gantung Tamat

Lionel Messi boleh kembali beraksi bersama Argentina di pusingan kelayakan Piala Dunia pada bulan hadapan selepas jawatankuasa displin CONMEBOL mengesahkan tempoh hukuman telah tamat.

Messi telah diberikan hukuman gantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah di perlawanan penentuan tempat ketiga Copa Amerika menentang Chile.

Pemain Barcelona itu turut menuduh pengadil dan penganjur kejohanan mengamalkan rasuah untuk menidakkan Argentina.

Messi sepatutnya akan terlepas perlawanan kelayakan menentang Equador yang dijadualkan berlangsung pada 8 Oktober di Buenos Aires.

Namun Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) Claudia Tapia berkata beliau telah meminta pengesahan dari Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) berkaitan status pergantungan itu, dan badan tersebut mengesahkan Messi boleh beraksi kerana status hukuman tersebut sudah tamat tempoh.

Status Messi untuk perlawanan menentang Ecuador itu turut dimuat naik melalui satu kenyataan di Twitter rasmi AFA.

Dalam kejohanan Copa Amerika sebelum ini, Messi terlibat dengan insiden bersama pemain Chile Gary Medel, dan selepas itu secara terbuka mengkritik tuan rumah Brazil selaku penganjur yang pemain itu sifatkan sebagai tidak adil.

Brazil menewaskan Argentina di separuh akhir kejohanan tersebut sebelum muncul juara.

Argentina yang kali terakhir memenangi Piala Dunia pada 1986 akan memulakan kempen kelayakan dengan dua perlawanan di tempat sendiri menentang Ecuador dan Bolivia pada Oktober akan datang.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.