Messi Beri Syarat Sukar Atau Akan Angkat Kaki Dari Barcelona

Barcelona mungkin menggigit jari untuk saingan LaLiga pada musim hadapan kerana berpotensi mengharungi saingan tanpa kelibat Lionel Messi.

Bintang dari Argentina itu kini dilaporkan telah tampil dengan syarat yang dianggap gila dan sukar dipenuhi sebagai jaminan untuk terus kekal pada musim depan.

Tewas dengan penuh memalukan dibelasah Bayern Munich dengan jaringan 8-2, kekalahan tersebut turut tampil menjadi kekalahan terbesar dalam sejarah pusingan suku akhir pertandingan Champions League.

Lebih memilukan, Barcelona turut menamatkan musim tanpa sebarang gelaran setelah turut kempunan di saingan domestik seperti Supercopa de Espana, Copa del Rey, dan LaLiga.

Segala usaha telah dilakukan, termasuk memecat pengurus Ernesto Valverde dan menggantikannya dengan Quique Setien.

Ibarat sudah jatuh tangga ditimpa tangga, Barcelona kini diuji pula dengan kemungkinan akan hilang khidmat Messi yang mengajukan beberapa syarat drastik untuk dipenuhi, sebelum pemain Argentina itu terus memberikan komitmen.

NESN melaporkan Messi telah menghentikan segala proses rundingan untuk pembaharuan kontrak yang bakal berakhir pada 2021 kerana muak dengan permasalahan yang ada di kelab itu.

“Messi muak dituduh sebagai dalang kepada masalah di kelab. Beliau muak dengan mereka yang menuduh dirinya mempunyai kuasa merekrut atau memecat jurulatih.

“Malah Messi turut dituduh sebagai watak yang berperanan penting untuk membawa masuk pemain baharu, dan dituduh punca kesilapan aktiviti apabila keadaan tidak memihak kepada Barcelona di jendela perpindahan pemain,” tulis Guillem Balague di dalam BBC.

Messi juga sudah dikatakan sudah cukup bersabar dengan apa yang berlaku, dan pemain itu mahukan perubahan drastik dari peringkat pengurusan mulai dilakukan.

Ini termasuk memecat Pengarah Sukan, Eric Abidal dan untuk presiden kelab, Josep Maria Bartomeu untuk melepaskan jawatannya.

Kedua-dua individu ini dilihat sebagai musuh dalam selimut dan punca kepada masalah dalaman di Barcelona oleh Messi.

Abidal pernah menuduh Messi dan barisan pemain lain sebagai dalang pemecatan Valverde. Bartomeu pula bertanggungjawab dengan hal berkaitan krisis kewangan kelab yang mempengaruhi prestasi keseluruhan pasukan.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.